`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 16, 2022

Bertema ‘Retro Kuala Lumpur’, 10,000 serbu program Keretapi Sarong

 

Peserta Program Keretapi Sarong tampil dengan busana tradisional dan retro.

KUALA LUMPUR: Seolah-olah berada di zaman 60-an, program Keretapi Sarong kali ini membawa suntikan baharu dengan bertemakan ‘Retro Kuala Lumpur’ dalam sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Pengarah Program Keretapi Sarong, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, berkata meskipun pada awalnya jangkaan hanya sekitar 3,000 peserta sahaja, namun hari ini dianggarkan 10,000 membanjiri pekarangan pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

“Biasanya bertema ‘sarong’ sahaja, jadi tahun ini kita buat kelainan guna tema retro Kuala Lumpur, dan bagaimana orang menggayakan retro dengan sarung.

“Kami cuma jangka 3,000 orang sahaja tetapi disebabkan pandemik dan cuti panjang, hari ini di luar jangkaan dan kami lihat rakyat kita sangat bersemangat meraikan Hari Malaysia hari ini, hasil tinjauan tadi lebih kurang 10,000 orang,” katanya kepada FMT.

Seorang peserta, Sahirah Atan, 28, yang baru kali pertama menyertai program itu berkata, selepas lebih dua tahun berdepan pandemik dan terpaksa berkurung, sambutan seperti ini adalah dinanti-nantikan.

Katanya, melihat begitu ramai peserta hadir dengan berpakaian retro dan ‘sarong’ membuktikan rakyat Malaysia tidak mengira kaum bersatu mempamerkan keistimewaan yang ada di negara kita.

“Waktu ini rasa teruja, bangga orang luar negara boleh datang sini tengok budaya kita, pakaian tradisional kita, dengan sarung kita boleh menyatukan ramai orang, tak kira kaum kita sama-sama ‘enjoy’,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nurain, 22, meluahkan keterujaan apabila melihat solidariti peserta bersemangat menyambut Hari Malaysia dengan bangga berpakaian bertema ‘sarong’ selain dapat merasai kembali kenangan di awal 60-an dan 70-an.

“Masa mula-mula agak malu sebab kita bersiap datang berkebaya dengan sarung tetapi bila dah mula lihat peserta lain juga dengan bersarung, rasa malu itu hilang.

“Nyanyi semula lagu-lagu nostalgia, saya orang muda bila berada dalam suasana dengan ramai berpakaian tradisional, kebaya dan pakaian retro saya rasa macam ada di zaman 60-an, terharu lihat orang ramai bersolidariti dan bangga dengan sarung kita,” katanya.

Peserta warga emas, Suskri, 63, berkata dia bangga melihat ramai golongan muda menunjukkan rasa cinta terhadap negara dan budaya Malaysia yang masih mengekalkan warisan tradisi.

“Saya sebagai orang tua lihat anak-anak muda semangat sambut Hari Malaysia, kekalkan budaya kita di Malaysia dengan pakaian tradisional. Saya sangat bangga tengok mereka bersatu,” katanya dari Klang.

Program Keretapi Sarong kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan Malaysian Fusion, tarian joget lambak serta penyampaian hadiah bagi busana terbaik.

Program Keretapi Sarong mula diperkenalkan pada 2012 dan merupakan program kendalian badan bukan kerajaan (NGO) LOCCO.

Ia membabitkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung sama ada batik atau pelikat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tahun ini Keretapi Sarong mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Kementerian Pengangkutan.

Turut terlibat agensi seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Berhad, MRT Corporation, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan Malaysia Airports Holdings Berhad. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.