PETALING JAYA: Umno akan mengulangi keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) jika kekal mahu bergerak solo, kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.
Katanya, tindakan bergerak solo dilihat hanya lebih mementingkan diri daripada memelihara perpaduan dan menjaga kepentingan rakyat.
“Tak apa lah, Umno bercakap dengan konsep begitu, kita tetap cakap tentang konsep perpaduan. Terpulang kepada rakyat untuk menilai siapakah yang mahukan perpaduan.
“Kalau berasakan dia nak keputusan PRU14 berulang balik, sila buat begitu,” katanya menurut Astro Awani.
Dalam PRU14 pada 2018, Umno dan Barisan Nasional (BN) tumbang buat kali pertama sejak lebih 60 tahun memerintah negara kepada Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, parti itu kembali membentuk kerajaan bersama Bersatu dan PAS susulan “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan PH runtuh dalam tempoh 22 bulan.
Dalam pada itu Idris berkata, PAS tetap dengan pendirian memelihara perpaduan dan menjaga kepentingan rakyat, terutama untuk generasi mendatang.
Baru-baru ini Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS.
Pada 2 Ogos, Zahid “mengajak” PAS beradu kekuatan terlebih dulu pada PRU15 sekiranya ingin bercakap berhubung pembentukan kerjasama.
Katanya, sekiranya PAS masih mahu membentuk kerjasama dengan Umno, ia boleh dilakukan selepas PRU15.
“Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan…kekuatan dari segi pengaruh pengundi.
“Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” katanya dalam wawancara “Jawab, Saya Tanya!” yang disiarkan secara langsung di Facebook miliknya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.