`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 11, 2022

PerantiSiswa: 60% permohonan fasa 1 lulus tapisan awal, kata Annuar

 

Annuar Musa berkata pengagihan peranti bagi fasa 1 akan diselesaikan terlebih dulu sebelum memulakan pengagihan fasa 2, pada Oktober. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata sebanyak 60% daripada hampir 100,000 permohonan untuk fasa 1 PerantiSiswa telah diluluskan menerusi tapisan awal dan pemohon akan memperoleh peranti masing-masing, bulan ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk menyelesaikan pengagihan bagi fasa itu sebelum memulakan pengagihan fasa 2, pada Oktober dan dijangka selesai pada November depan.

“Hampir 400,000 unit peranti itu kita ada (untuk diagihkan) tahun ini, kalau (memerlukan) jumlah lebih itu kerajaan perlu buat ketetapan lain dengan peruntukan tambahan dan perolehan, jadi itu kita kira kemudian, kita selesaikan yang ini dulu.

“Fasa 1 dan 2 ini kita mahu selesaikan dalam 90 hari, dan usaha ini melibatkan kerjasama antaranya Jemaah Menteri, Ahli Parlimen, pemimpin tempatan, pegawai tinggi kementerian supaya cepatkan agihan tanpa banyak kerenah dan mudahkan pelajar dapat peranti segera,” katanya kepada pemberita.

Annuar berkata, pengagihan PerantiSiswa perlu disegerakan dan kerajaan sedang membuat penjadualan pengagihan supaya selaras dengan pembekal, terutama di Sabah dan Sarawak berikutan keadaan logistik di kawasan pedalaman yang mencabar.

Pada 3 Sept, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melancarkan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi memberikan bantuan peranti tablet berjenama kepada pelajar kumpulan B40 yang memerlukan.

Tablet jenama Samsung dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.

Annuar berkata, baki 40% permohonan fasa 1 program itu pula sedang diteliti termasuk melibatkan kes rayuan bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.

Beliau berkata, dalam proses tapisan rayuan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian masing-masing dan pentadbir sekolah telah diberikan amanah untuk meneliti rayuan sebelum kementerian meluluskan permohonan.

“Jika ada pelajar yang mereka (MPP dan pentadbir) tahu layak tetapi tapisan awal secara dalam talian tidak melayakkan mereka atas pelbagai sebab, maka kita beri kelonggaran kelulusan, tujuan kita hendak beri kepada seberapa ramai pelajar yang benar-benar layak.

“Ramai juga memohon tetapi jika tidak layak, maka tidak bolehlah kerana kita memikul amanah, ini (kemudahan) untuk keluarga B40 dengan garis pendapatan keluarga RM5,000 ke bawah. Ada juga ramai orang biasa bukan pelajar minta, tetapi saya kata tidak bolehlah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.