`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, February 15, 2023

24 guru sekolah dan kakitangan UM lega dibenar cabar tindakan “diskriminasi” tolak vaksin

 

Sekumpulan 24 guru sekolah dan kakitangan UM mendakwa didiskriminasi akibat enggan menerima vaksin Covid-19.

PETALING JAYA: Dilarang masuk tempat kerja, ditegah imbas kad perakam waktu selain dikenakan ancaman tindakan disiplin – itu antara ‘hukuman’ yang didakwa dikenakan pihak berkuasa ke atas sekumpulan guru sekolah dan kakitangan Universiti Malaya sejak 2020, kerana menolak vaksin Covid-19.

Kumpulan 24 orang itu memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mencabar tindakan berkenaan yang disifatkan berbentuk diskriminasi. Mereka menamakan Pendaftar UM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ketua pengarahnya, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, dan kerajaan sebagai responden.

Peguam mewakili mereka, Muhammad Amin Anuar yakin 19 kakitangan akademik dan pentadbiran UM serta lima guru berkenaan akan memperolehi keadilan di mahkamah dengan pelbagai tindakan yang dikenakan terhadap mereka ditarik balik kerana melanggar undang-undang.

“Walaupun mana-mana jabatan boleh mengeluarkan apa saja peraturan, tapi ia kenalah ikut undang-undang. Contohnya katalah anak guam saya tak vaksin, anda tak boleh halang dia bekerja.

“Tetapi anda boleh buat peraturan munasabah, (contohnya) mungkin dari masa ke semasa dia kena buat ujian PCR atau buat penjarakan sosial, tapi tak boleh sampai menghalang dia daripada menjalankan tugas,” tegas Amin.

Namun, dakwa Amin, itulah yang berlaku kepada anak guamnya sehingga memberi kesan kepada kerjaya dan masa depan mereka dan keluarga.

Muhammad Amin Anuar bersama rakan peguamnya dalam Tetuan Amin Chambers.

Pada 7 Feb lalu, kes mahkamah mereka melepasi rintangan pertama apabila Mahkamah Rayuan mengenepikan rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran untuk semakan kehakiman yang difailkan.

Panel merangkumi Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, Mariana Yahya, dan Zaini Mazlan mengarahkan permohonan untuk memutuskan kesahihan tindakan responden ke atas kumpulan guru dan kakitangan UM itu didengar Mahkamah Tinggi.

“Alhamdulillah, mahkamah kata rayuan (Jabatan Peguam Negara) ditolak tanpa perintah kos. Sekarang kita patah balik ke Mahkamah Tinggi dan pihak mahkamah akan bagi arahan lanjut supaya kita failkan afidavit balasan dan hujahan seterusnya supaya prosiding dapat diteruskan.

“Saya tak setuju pasukan peguam negara mengatakan kononnya kita mencabar keputusan pihak kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK). Kita tak (cabar itu),” katanya kepada FMT.

Selain mencabar tindakan yang dikenakan terhadap mereka, sebilangan daripada penjawat awam berkenaan turut mencabar Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 bertarikh 18 Oktober 2021: Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Sementara lima guru terbabit turut mencabar pekeliling yang sama selain Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang kemudiannya dibatalkan.

Menurut Amin, anak guamnya mencabar pekeliling dan garis panduan itu atas alasan ia membelakangkan Perlembagaan dan tidak mengambil kira ketetapan kerajaan bahawa vaksin Covid-19 tidak wajib, hanya digalakkan.

“Tetapi walaupun kerajaan kata tak wajib, anak guam saya mengatakan tindakan pihak berkenaan terhadap mereka seolah-olah menggambarkan vaksin itu wajib. Itu yang kita nak cabar di sini,” katanya.

Pada prosiding Mahkamah Rayuan, pasukan peguam negara membantah semakan kehakiman yang dipohon itu, dengan mendakwa mereka yang enggan divaksin sudah tidak didiskriminasi manakala Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sudah dibatalkan.

Namun, Amin memberitahu panel hakim bahawa anak guamnya masih dikenakan tindakan berbentuk diskriminasi malah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021, terus berkuatkuasa sehingga kini.

“Saya beritahu hakim, diskriminasi masih ada tapi sehingga kini dan anak guam kami masih belum berpeluang memfailkan afidavit bagi memperincikan tindakan diskriminasi terkini dialami disebabkan penggantungan prosiding di mahkamah tinggi sepertimana permohonan oleh pihak Peguam Negara sebelum ini.

“Panel hakim bersetuju kes anak guam kami tidak remeh tetapi mempunyai merit, justeru perlu didengar hingga habis,” kata beliau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.