KUALA LUMPUR: Gabungan 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Malaysia dan Indonesia, menyasarkan RM3 juta kutipan dana dalam misi membantu mangsa tragedi gempa bumi di Turki dan Syria.
Agensi yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu antaranya Malaysia For Syria; Global Peace Mission (GPM) Malaysia; Muslim Volunteer Malaysia (MVM); Hayrat Relief Malaysia; Impactive Malaysia; Cinta Syria Malaysia; DT Peduli Indonesia; Asar Humanity Indonesia dan Childrity.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia For Syria Syahrir Azfar Saleh yang mewakili gabungan NGO itu berkata usaha sama melibatkan kedua-dua negara itu adalah bagi memastikan bantuan yang diberikan berskala besar, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat Turki dan Syria yang terkesan dalam bencana itu.
“Kita ingin wujudkan satu momentum kebersamaan untuk salur bantuan ke Turki dan Syria. Kita akan usahakan bantuan awal sebanyak RM250,000 daripada komitmen rakan-rakan NGO dan akan diserahkan dan dibawa (ke Turki dan Syria) minggu ini.
“Bagi bentuk bantuan, kita beri fokus kepada tiga perkara iaitu pemberian bantuan alat-alat operasi SAR (mencari dan menyelamat), keperluan kecemasan awal seperti khemah, petrol dan bahan bakar (untuk musim sejuk), kanvas dan makanan panas, serta bantuan pemulihan, iaitu bantuan-bantuan berbentuk pemulihan, dari sudut penempatan mereka,” katanya menerusi sidang media maya hari ini.
Syahrir berkata keutamaan misi itu adalah untuk mengumpul sejumlah RM250,000 bagi menggerakkan pasukan peninjau dan membeli barangan bantuan peringkat awal.
Katanya, pasukan peninjau dengan kekuatan lima ahli pasukan juga akan dihantar ke Turki dan Syria selewat-lewatnya Khamis ini bagi melakukan tinjauan lapangan dan membeli barangan bantuan awal kepada mangsa tragedi.
“Untuk bantuan, kita akan ke Turki dahulu kerana kemasukan ke Syria memerlukan clearance Turki. Kita sudah nyatakan hasrat kita kepada Kedutaan Turki di Malaysia untuk dapatkan pelepasan khas, jadi ini mungkin makan masa sedikit dan diharapkan pelepasan ini dapat diberikan dengan kadar segera.
“Bagi sumbangan dari (rakyat) Malaysia, kita beri fokus pada sumbangan tunai. Selain itu, hanya barangan baharu seperti baju, kelengkapan harian sahaja diterima. Syarat ini bukan diletakkan bersahaja, ia merupakan peraturan di peringkat Turkiye sendiri,” katanya.
Dalam sidang media sama, beliau memaklumkan bantuan berbentuk kit musim sejuk seperti baju sejuk, stokin, sarung tangan dan topi musim sejuk bernilai RM150,000 juga akan diberikan kepada mangsa menerusi penghantaran kargo khas penerbangan Turkish Airlines hasil sumbangan syarikat Decathlon.
“Selain itu, gabungan ini juga turut mewujudkan dua pusat koordinasi bantuan dan perlindungan sementara iaitu di Gaziantep, Turki dan juga Aleppo, Syria. Nilai keseluruhan bantuan awal ini berjumlah RM400,000.
“Sumbangan kepada misi bantuan ini boleh disalurkan kepada mana-mana NGO yang terlibat dalam gabungan ini. Kita bersolidariti dengan sahabat di Turki dan Syria. Mudah-mudahan kita minta bantuan dan sokongan rakyat Malaysia dan Indonesia dalam misi bantuan ini,” katanya.
Pada Isnin, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda daerah Pazarcik, Kahramanmaras termasuk beberapa wilayah lain seperti Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.
Dilaporkan, setakat ini, seramai 3,381 orang dilaporkan terkorban manakala 20,426 yang lain cedera di 10 wilayah Turki selepas dua gempa bumi kuat melanda bahagian selatan negara itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.