`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, February 26, 2023

Penahanan 2 remaja ikut undang-undang, kata polis selepas dikritik

 

Walaupun mendapat perintah reman dua hari, dua remaja berusia 18 tahun itu dibebaskan dengan jaminan awal selepas polis berpuas hati dengan siasatan kes itu.

PETALING JAYA: Polis mempertahankan tindakannya menahan dua remaja yang dipercayai menghina pembuat kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini mengikut undang-undang.

Ketua Polis Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata, semua individu, termasuk pelajar, tertakluk kepada undang-undang.

“Pihak polis memberi jaminan untuk mempercepatkan siasatan kes ini kerana melibatkan pelajar sekolah. Tahanan reman dua hari terhadap dua pelajar ini dibuat berikutan proses merakam keterangan berkaitan kejadian dengan lebih teliti.

“Polis turut menjalankan semakan melibatkan isi kandungan telefon bimbit yang dirampas serta mendapatkan laporan disiplin berkaitan suspek dari pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun mendapat perintah reman dua hari, Suffian berkata, dua remaja berusia 18 tahun itu dibebaskan dengan jaminan awal polis selepas pihaknya berpuas hati dengan siasatan kes terbabit.

Katanya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata demikian susulan kritikan Lawyers for Liberty (LFL) atas penahanan dua remaja itu bagi membantu siasatan berhubung video tular mereka tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah SPM. Dua remaja itu kemudiannya memohon maaf dalam video berasingan.

Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan terkejut dengan pendekatan “keras” pihak berkuasa dan menuntut penjelasan berhubung penggunaan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap pelajar sekolah.

Beliau menyifatkan penggunaan akta itu ke atas pelajar sebagai mengekang kebebasan bersuara dan bercanggah janji reformasi Pakatan Harapan, selain melanggar kebebasan menyuarakan pandangan yang dijamin Perlembagaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.