`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 28, 2023

USM lancar satelit pertama ke orbit

 

Satelit A-SEANSAT-PG1 berjaya dilancarkan ke orbit menggunakan roket Soyuz-2 di Vostochny Cosmodrome, Rusia. Penstriman langsung diadakan di Agensi Angkasa Lepas Malaysia di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi angkasa lepas tempatan Angkasa-X Innovation Sdn Bhd, melancarkan satelit orbit rendah bumi (LEO) ke angkasa lepas dari Rusia, hari ini.

Naib Canselor USM Abdul Rahman Mohamad berkata pelancaran satelit A-SEANSAT-PG1 itu, akan menerajui pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas Malaysia dan memacu kemajuan ekonomi bagi negara dalam kawasan khatulistiwa.

“Peristiwa bersejarah ini melambangkan hasil kerja keras dan komitmen yang tinggi. Kejayaan pelancaran ini bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan Malaysia dalam teknologi angkasa lepas, tetapi juga menjadi inspirasi kepada saintis dan jurutera di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran satelit A-SEANSAT-PG1, disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Selain itu, Abdul Rahman berkata dengan pelancaran satelit A-SEANSAT-PG1 dan 200 satelit selepas itu, Angkasa-X berhasrat untuk mewujudkan ekonomi angkasa yang teguh, terutamanya dalam Asean.

Beliau berkata satelit itu juga akan menyumbang kepada mewujudkan satu keadaan di mana ketersambungan data dan informasi penting, akan dapat dicapai dengan mudah dan mampu oleh masyarakat, kerajaan dan juga syarikat.

“Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara untuk mereka bentuk, memasang dan melancarkan satelit LEO buatan sendiri.

“Pelaburan dalam satelit dan teknologi angkasa lepas satelit, akan memangkinkan bakat, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, membangunkan solusi teknologi angkasa lepas baharu untuk dipasarkan secara global, dan menarik pelaburan serta bakat domestik dan antarabangsa, serta memberikan impak ekonomi yang positif kepada negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.