Kalsom Taib mengimbau kehidupan dan warisan Allahyarham bapanya yang kepimpinannya mencorak Felda sepanjang era pembentukannya.

Tertubuh pada 1 Julai 1956, agensi kerajaan itu telah mengubah lanskap luar bandar Malaysia, meneroka tanah, mewujudkan sumber pendapatan, serta memberi peluang kepada generasi peneroka membina kehidupan lebih baik.
Warisan berkenaan dibentuk oleh tokoh-tokoh perintis yang membantu menterjemahkan visi awal Felda menjadi kenyataan. Antara tokoh besarnya ialah Allahyarham Taib Andak (1916-1997), pengerusi pertama dalam kalangan anak tempatan, yang kepimpinannya membantu meletakkan asas kejayaan agensi itu.
Taib dianggap ramai sebagai pemimpin berpandangan jauh dan penjawat awam berdedikasi. Bagi mereka yang mengenalinya secara peribadi, beliau juga merupakan seorang sahabat yang mesra, rakan sejawat dihormati, dan paling utama, ketua keluarga yang penyayang.
Anak sulungnya, penulis dan aktivis budaya, Kalsom Taib, mengenangnya sebagai seorang lelaki mempunyai kejujuran tinggi dan melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab.
“Semasa Hari Raya, keluarga kami sering menerima hamper daripada pelanggan. Sebagai kanak-kanak, kami sangat teruja kerana ada coklat di dalamnya.
“Namun, ayah saya tidak akan menerima walau satu pun daripadanya – beliau akan marah orang yang membawanya dan suruh mereka membawa balik semuanya. Integritinya tidak membenarkan beliau menerimanya,” kata Kalsom, 84, kepada FMT Lifestyle.

Dilahirkan di Parit Bakar, Johor semasa Perang Dunia I, Taib membina kerjaya cemerlang dalam perkhidmatan awam, pembangunan luar bandar, dan sektor korporat. Peranan pentingnya bermula pada 1958 apabila dilantik sebagai pengerusi Felda bagi menggantikan D E M Fiennes.
Agensi itu berkembang pesat sepanjang 13 tahun kepimpinan Taib, dengan lebih 100 rancangan tanah dibangunkan di seluruh negara. Paling menonjol, rancangan Felda Taib Andak di Kulai, Johor, menjadi petempatan kelapa sawit pertama Felda dan dinamakan sebagai penghormatan kepadanya.
Sumbangan Taib menjangkau jauh melampaui Felda. Pada 1969, beliau dilantik sebagai pengerusi Malayan Banking Bhd (Maybank) dan berkhidmat dalam lembaga pengarah syarikat gergasi termasuk Sime Darby dan Federal Flour Mills.
Kalsom mengenang pengalamannya menemani bapanya menjelajah negara membantu membangunkan rancangan tanah Felda. Beliau mengimbau di mana bapanya hanya mendapat khidmat pemandu pada peringkat akhir kerjayanya, justeru beliau sering memandu sendiri dalam perjalanan jauh berkenaan.
“Saya akan menemani bapa semasa memandu ke kawasan berkenaan. Keadaannya tidak seperti hari ini yang mempunyai jalan raya moden dan kawasan rehat. Kami perlu melalui jalan yang sangat jauh dan berliku,” imbau Kalsom.

“Saya akan berbual untuk membantunya kekal segar ketika memandu. Kadangkala, beliau terlalu penat sehingga perlu berhenti untuk tidur sebentar, dan saya akan jaga kereta.”
Kalsom menggambarkan bapanya sebagai seorang lelaki yang sedaya upaya menerapkan nilai murni dalam diri anak-anaknya. Antara pengajaran paling penting dipelajari adalah berani bersuara apabila ada sesuatu yang tidak kena, serta sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, berbanding merungut mengenai apa yang tiada.
Taib sangat berdedikasi dalam berkhidmat kepada perdana menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein, yang mana beliau menjalin hubungan persahabatan erat.
“Razak mahu menyediakan pekerjaan untuk golongan penganggur, dan tanah untuk mereka yang tidak mempunyai tanah. Beliau mempunyai visi berkenaan dan ayah saya membantu menterjemahkannya. Mereka bekerjasama dengan sangat baik.”
Semasa menulis buku biografi bapanya, ‘Taib Andak: In A Class Of His Own’ (2008), Kalsom menghadiri satu majlis perhimpunan semula peneroka Felda.

Di sana, beliau mengetahui bahawa peluang diwujudkan menerusi Felda telah membolehkan ramai peneroka menghantar anak-anak ke universiti, yang mana ramai dalam kalangan mereka kemudiannya berjaya membina kerjaya cemerlang.
Bagi beliau, ia merupakan bahagian paling bermakna dan kekal dalam warisan bapanya: peluang diwujudkan oleh beliau secara langsung mengubah kehidupan ramai pihak walaupun selepas tugasnya selesai.
Namun, Kalsom berkata Allahyarham kemungkinan besar akan sedih dengan kontroversi yang dihadapi Felda selama ini. Pernah dianggap sebagai model pembangunan tanah, beliau percaya agensi itu kini hanyalah menjadi bayangan kepada kegemilangannya yang lalu.

Katanya, Taib sangat percaya kepada kepimpinan melalui teladan dan tidak mahu pelantikan politik daripada Felda. Beliau berpandangan penyimpangan daripada prinsip sedemikian menjejaskan prestasi agensi kerajaan berkenaan selama ini.
“Ayah saya tidak pernah hadir mana-mana kursus perniagaan canggih seperti yang ada sekarang; namun beliau mampu memimpin Felda menuju kejayaan,” kata Kalsom merenung kembali perkara itu.
“Saya fikir kerana beliau ada sistem nilai yang teguh, sesuatu yang semakin hilang hari ini. Jadi, kita perlu mencontohi teladannya.
“Kita mempunyai begitu banyak kemajuan moden hari ini, tetapi apa gunanya jika kita tidak mempunyai harga diri?” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.