`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 9, 2013

‘Cina mahu zakat’ satu hasutan berbahaya – Teresa Kok

teresa kokKUALA LUMPUR, 9 OGOS: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, kelmarin terhadap blogger pro-Barisan Nasional (BN) yang memfitnah dengan tuduhan tanpa asas mahu agar wang kutipan zakat ‘diberi kepada orang Cina’.
“Saya menolak sekeras-kerasnya hasutan yang menimbulkan kebencian itu, saya juga tidak pernah terfikir supaya wang zakat diberi kepada orang Cina (yang bukan Islam),” tegas beliau.
Pada satu sidang media, Pengerusi DAP Selangor itu menegaskan bahawa artikel ‘Cina pun mahu duit zakat – Teresa Kok’ yang disiarkan dalam blog, bnbesut.blogspot.com adalah hasutan daripada ‘orang gila’ dan boleh menimbulkan kebencian orang Islam terhadapnya.
“Ia telah disiarkan di laman sosial secara meluas. Ini adalah jenayah penipuan dan hasutan. Polis perlu menyiasatnya,” katanya
Menurut Teresa, beliau juga akan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap penulis blog itu yang masih belum dikenal pasti.
Teresa menjelaskan, laporan itu amat penting kerana ia adalah tindakan pencegahan daripada ‘dihambat’ polis sambil merujuk kepada insiden 2008 berhubung isu ‘Azan’.
Pada 2008, Teresa Kok pernah menjadi sasaran apabila beliau difitnah pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan dalam satu artikelnya bertajuk “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya” yang disiarkan pada 10 September 2008.
Akibatnya, dua hari selepas tulisan itu disiarkan, Teresa Kok ditahan mengikut ISA pada 12 September 2008 selama tujuh hari. Rentetan fitnah yang berbahaya itu, Teresa telah memfailkan saman terhadap Zaini dan Utusan Malaysia pada 9 Oktober 2008 dan perbicaraannya masih belum selesai.
Pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia tahun lalu, Zaini dilaporkan media mengeluarkan kenyataan bahawa sesuatu fakta itu boleh diputar (spin).
“Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan)…Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta itu memihak kepada kita, itu okay”, kata Zaini
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, DAP acap kali menjadi sasaran fitnah pihak lawan apabila parti itu dilihat semakin diterima masyarakat Melayu di bandar dan meluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar dengan pelbagai dakwaan fitnah berbaur perkauman, sentimen keagamaan dan sebagainya.
Hakikatnya, DAP adalah sebuah parti yang jelas dalam perlembagaannya berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu serta sistem demokrasi berparlimen.-Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.