`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, August 5, 2013

Otak diletak di lutut?

Melihat dua insiden baru dan dua insiden lama melibatkan pengetua, guru besar dan sekolah.
COMMENT
Pelbagai perkara yang pelik dan sukar dicerna minda yang masih rasional terus berlaku di negara bertuah ini. Apabila perkara-perkara yang kurang bertamadun berlaku pula pada bulan Ramadan yang mulia, kita tertanya-tanya mengapa semua itu berlaku; sedangkan khabarnya syaitan dan iblis diikat sepanjang bulan ini.
Minda yang rasional juga menghadapi sedikit masalah untuk memahami bagaimana sebuah kantin yang boleh memuatkan 600 murid tiba-tiba tidak mampu menampung sejumlah 28 murid!
Umum mengetahui bahawa kejadian ini berlaku di SK Seri Pristana, Sungai Buloh sehingga menimbulkan kemarahan dan kekecewaan sejumlah ibu bapa yang masih berfikiran rasional.
“Keputusan untuk menggunakan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara dibuat setelah dibincangkan dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) berikutan kantin sekolah ini agak kecil dan hanya boleh menampung kira-kira 600 pelajar sahaja sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar,” kata Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan selepas melawat sekolah itu (Bernama dan Utusan Malaysia, 24 Julai 2013).
Saya tidak melawat sekolah itu seperti dilakukan Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor. Bagaimanapun, saya dapat menggunakan daya imaginasi untuk membayangkan betapa besar bilik persalinan yang dilengkapi tandas dan bilik mandi itu sehingga mampu menampung baki lebih 600 murid yang tidak muat di kantin sekolah berkenaan!
Dalam pada itu, persoalan yang terus menjadi teka-teki tetapi sukar dicari jawapan adalah mengapa kantin itu tidak boleh menampung 28 murid – kebetulan murid-murid bukan Islam – pada bulan Ramadan.
Jawapan paling “bijak” yang mampu diberikan oleh mana-mana pihak yang mahu terus menegakkan benang yang basah adalah bahawa pintu kayu menghala masuk ke ruang makan para guru di kantin itu sedang diganti dengan pintu kaca.
Apa-apa pun, saya secara peribadi merakamkan tahniah kepada seorang wanita yang berani tampil mendedahkan kepincangan dan “kebodohan” yang berlaku di sekolah berkenaan. Bayangkan: Jika beliau tidak melakukan pendedahan itu, entah-entah hingga kiamat pun bilik persalinan berkenaan dijadikan kantin sementara.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa tindakan serta keputusan PIBG dan guru besar, Encik Mohamad Nasir Mohd Noor menjadikan bilik persalinan (tandas) itu sebagai kantin boleh disifatkan sebagai tidak bijak, tidak rasional, tidak beretika, tidak profesional, tidak sensitif dan tidak menggunakan otak.
Kalau tidak, masakan Kamalanathan yang selalu dirujuk sebagai “politikus India yang suka cium tangan orang Umno” berani membuat kenyataan bahawa Kementerian Pendidikan “sedar bahawa bilik itu tidak sesuai dan telah berbincang dengan pihak sekolah itu supaya tidak lagi menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara.”
‘Balik China, India, Indonesia!’
Saya selalu menggelarkan kebanyakan politikus di negara ini sebagai “Badut Paul Lathic” kerana mereka tidak pernah kehabisan modal dalam mempamerkan kebodohan dan kelucuan melampaui tahap sarkas. Gelaran itu adalah sempena watak Paul Lathic dalam beberapa cerpen saya sejak 1995.
Dalam isu di SK Seri Pristana pula, guru-guru – dan mungkin juga wakil politikus tempatan – membuktikan “kehebatan” dengan mengatur majlis berbuka puasa di bilik persalinan itu! Tentu sahaja mereka tidak akan sanggup – atau terdesak untuk – berbuat demikian jika apa yang dilakukan ke atas 28 murid pada bulan Ramadan tidak didedahkan kepada umum oleh seorang ibu yang prihatin.
Pada penelitian saya sebagai seorang perunding media dan pengamal media yang berpengalaman pula makan gaji di sebuah stesen televisyen milik kerajaan (1996-2010), apa yang berlaku hanyalah usaha terdesak pihak tertentu untuk mewajarkan tindakan yang memang diketahui kurang bijak dan mempamerkan kebodohan melampau.
Pada 29 Julai 2013, Free Malaysia Today (FMT) mendedahkan pula mengenai seorang pengetua di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Taman Alam Megah, Shah Alam yang didapati memarahi pelajar kaum Cina dan India dengan menyuruh mereka pulang ke negara China dan India.
Mana-mana manusia yang mampu berfikir secara rasional (tidak perlu pun belajar tinggi-tinggi seperti Puan Yati Dani) akan tahu betapa bodohnya kenyataan yang dikeluarkan. Berpuluh-puluh kali ganda lebih bodoh berbanding apabila dituturkan oleh Badut Paul Lathic yang memang tidak diharapkan ada kemampuan berfikir sebelum membuka mulut.
Dua hari kemudian, menerusi kenyataan timbalan pengerusi MIC Shah Alam, A. Prakash Rao, yang disiarkan oleh FMT, saya mendapat tahu bahawa kononnya Yati juga telah meminta pelajar kaum Melayu supaya pulang ke Indonesia. Malah, pengetua yang mungkin tersilap meletakkan otak pada lutut semasa berucap dengan penuh amarah pada perhimpunan sekolah itu juga khabarnya sedia memohon maaf kepada pelajar kaum Cina dan India.
Dalam pada itu, agak hairan juga mengapa kelompok ultra kiasu, etnosentrik, rasis dan fanatik seperti Ibrahim Ali, Perkasa, Zulkifli Noordin, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), bekas tentera juara tarian punggung dan Ridhuan Tee Abdullah (yang membayangkan dirinya Melayu) tidak tampil menyelar Yati serta mengadakan tunjuk perasaan dan senaman punggung di hadapan sekolah atau rumahnya kerana tergamak menyuruh orang Melayu balik ke negara asal.
Perkasa khabarnya sedang sibuk dengan urusan berkaitan anjing iaitu meminta supaya fatwa dikeluarkan berhubung hukum orang Islam memegang anjing. ISMA pula mungkin masih sibuk menyeru orang bukan Islam (Tidak Islam) yang kagum dengan keperibadian dan ketokohan Nabi Muhammad supaya segera memeluk agama Islam.
Sementara itu, kes guru besar, pengetua, guru, pemimpin dan politikus Melayu menghina kaum India dan Cina sebagai “pendatang” serta seruan “balik China” dan “balik India” bukan lagi sesuatu yang baru di negara bertuah ini yang kononnya mengamalkan gagasan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Orang ramai mungkin masih ingat kisah “hebat” Puan Hajah Siti Inshah bt Mastor yang mencetuskan fenomena “pendatang” semasa perhimpunan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kulaijaya, Johor pada 12 Ogos 2010.
Pengetua cetus api perkauman
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah mengirim surat kepada beliau (dengan salinan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) kerana kami memahami bahawa walaupun wanita itu lahir dan membesar di Malaysia, beliau mungkin menghadapi masalah untuk memahami budaya kaum India, sehingga membuatkannya menganggap kaum Cina dan India sebagai “penumpang” dan “pendatang” di negara ini.
Dalam surat Kavyan, turut dinyatakan bahawa sikap yang ditunjukkan oleh Siti Inshah adalah kes terpencil dan tidak mewakili majoriti kaum Melayu yang memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta mahu hidup aman damai di negara bertuah ini.
“Sehubung itu, Kavyan berbesar hati menawarkan diri untuk mengadakan taklimat khas kepada puan berhubung budaya kaum India serta sejarah Malaysia secara percuma di sekolah puan. Selain daripada puan sendiri, puan juga boleh mempelawa guru-guru dan pelajar pelbagai kaum menghadiri taklimat ini ke arah mewujudkan persefahaman, perpaduan, integrasi dan semangat saling menghormati dengan semangat Bangsa Malaysia,” kata saya dalam surat itu yang malangnya tidak mendapat apa-apa balasan.
Sekitar lapan bulan kemudian, keluar pula berita hangat mengenai seorang pengetua di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Taman Sri Muda, Shah Alam yang didapati “menyebarkan fitnah dan khabar angin berbaur perkauman” (FMT, 27 April 2011).
Dalam kenyataan media yang diedarkan sekumpulan ibu bapa pada 11 Mei 2011, dinyatakan bahawa Puan Megawati Hasbullah mencetuskan api perkauman dalam kalangan pelajar dan guru sekolah terbabit.
Sekumpulan ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar sekolah itu menyerahkan petisyen yang ditandatangani lebih 700 orang ke pejabat Menteri Pelajaran. Bagaimanapun, hanya selepas campur tangan pejabat Perdana Menteri, barulah Megawati berjaya dikeluarkan dari sekolah itu.
Walaupun kes-kes yang memalukan seperti ini terus berlaku dari semasa ke semasa, pesalah nampaknya terus dibiarkan bermaharajalela. Malah, seolah-olah dibela (diberi makan) dan diberikan elaun khas oleh pihak tertentu yang memang mahu mencetuskan pergeseran dan pergaduhan antara kaum.
Dalam pada itu, orang-orang seperti Zulkiflee Bakar pasti sudah ada reaksi standard untuk diberikan terhadap segala perkembangan ini. Apatah lagi apabila saya kumpulkan dan paparkan “kebodohan” beberapa guru besar dan pengetua menerusi makalah ini. Kebetulan, kesemuanya kaum Melayu dan beragama Islam.
Zulkiflee mungkin akan mengulangi kenyataan ini: “apabila ada isu yang melibatkan orang Melayu, contohnya guru Melayu dengan pelajar-pelajar bukan Melayu, orang Melayu tidak bersatu untuk mempertahankan guru tersebut, sebaliknya apa yang kita saksikan ada pihak bukan Melayu yang membela kaum mereka tanpa terlebih dahulu mahu menyiasat sama ada sesuatu dakwaan itu benar atau tidak” (Utusan Malaysia, 31 Julai 2013).
Bagi Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, beliau mungkin masih terus berpegang pada khayalan bahawa “tiada orang Islam yang mempersendakan agama-agama bukan Islam seperti Kristian, Hindu dan sebagainya. Tetapi yang berlaku di sini, bukan Islam telah memperlekehkan dan mempersendakan agama kita” (Bernama, 30 Julai 2013).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.