`

THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!







                                                                                                                                     KKLIU 1211/2017
CLICK HERE :http://oze.my/



Monday, June 5, 2017

ANTARA JIMAT RAKYAT DAN BOROS NAJIB

Sementara rakyat digalakkan untuk jimat berbelanja di bulan Ramadan ini terdapat dua kes “pemborosan” berlaku yang didakwa melibatkan pemimpin nombor satu negara. Pertama, dakwaan bahawa Pejabat Perdana Menteri pernah melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat dengan bayaran sebanyak RM1.125 juta (atau USD250,000) dan kedua, wang berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC International Sdn Bhd telah didakwa disalur Dato’ Seri Najib Razak ke dalam akaun peribadi peguam UMNO Tan Sri Shafee Abdullah.
Dalam kes pertama, walaupun terdapat penafian terhadap lantikan pelobi oleh Pejabat Perdana Menteri, namun menurut Rafizi Ramli, Naib Presiden KEADILAN, dokumen pengisytiharan tambahan yang telah difailkan oleh firma pelobi 45 Group mengesahkan sebaliknya. Persoalan utama yang timbul ialah apakah 45 Group telah berbohong apabila menamakan Perdana Menteri sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang berurusan dengannya dan dari mana datangnya dana RM1.125 juta (atau USD250,000) untuk membayar 45 Group bagi kerja-kerja melobi bagi pihak Kerajaan Malaysia?
Kemungkinan ini satu kes pemborosan amat membimbangkan, terutama jika ia melibatkan dana rakyat, malah ia lebih “berat nanang” jika ada elemen penyelewengan. Sehingga sekarang, belum kedengaran penjelasan oleh Perdana Menteri atau 45 Group.
Dalam kes kedua, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang dan Presiden KEADILAN, dalam kenyataannya bertarikh 4 Jun 2017 melahirkan rasa kesal beliau kerana Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shafee belum menjawab atau memberi reaksi terhadap dakwaan wang berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC International yang telah disalur Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak ke dalam akaun peribadi peguam UMNO Tan Sri Shafee Abdullah.
“Setakat ini, rakyat Malaysia hanya mendengar alasan remeh yang diberi menteri Dato’ Seri Nazri Aziz. Ini amat tidak memadai, kerana persoalan pokok tidak terjawab, iaitu mengapa dana dari SRC International ini berada di dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib dan mengapa RM 9.5 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Tan Sri Shafee,” ujarnya.
Menurutnya, dakwaan ini menimbulkan tanda tanya apakah dana ini berkait kes Fitnah 2 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan apakah ada mana-mana individu berkait dengan kes Fitnah 2 yang menerima wang daripada Dato’ Seri Najib serupa seperti yang diterima Tan Sri Shafee. Malah menurut Dr Wan Azizah, dakwaan ini menimbulkan persoalan sekiranya Dato’ Seri Najib telah melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA 2014).
Terdahulu, Anwar Ibrahim melalui kenyataan ringkasnya pada 2 Jun 2017 juga menganggap dakwaan Sarawak Report itu sebagai dakwaan yang amat berat. “Perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa pada kadar segera. Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” tegas beliau. “Yang menjadi persoalan lebih serius: siapa lagi yang turut menerima duit dari SRC International melalui akaun peribadi Najib?” tambahnya.
Persoalan saluran dana dari SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini masih berselirat dan melibatkan berpuluh juta ringgit. Pada Januari 2016, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, telah membersihkan Dato’ Seri Najib daripada sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion atas alasan Perdana Menteri tidak sedar kemasukan dana berkenaan dan ia merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi yang telah diberikan tanpa sebarang balasan. Malah menurut Tan Sri Apandi, wang sejumlah USD620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh Najib kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.
Walau bagaimanapun, ternyata skandal penyaluran dana SRC International, yang kini milik Kementerian Kewangan, belum selesai meskipun cuba ditutup oleh Peguam Negara. Sekarang keluar satu demi satu, penerima kepada wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib.
Soalan oleh Anwar Ibrahim berkenaan siapa lagi yang turut menerima wang dari SRC International melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib belum terjawab. Ia boleh dijawab sekiranya kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didedahkan kepada awam. Bahkan, pada pendapat saya, ia wajib dimaklumkan dengan telus oleh institusi yang bebas dan berintegriti seperti SPRM supaya dana rakyat dapat dipertanggungjawabkan, tidak diselewengkan atau dibazir dan diboroskan, malah ditangkap mereka yang terlibat.
SPRM, PDRM dan lain-lain institusi bebas wajar bertanggungjawab meletakkan keutamaan kepada kepentingan rakyat, bukan kepentingan peribadi pemimpin apatah lagi melindungi mereka jika berlaku penyelewengan yang memudaratkan rakyat dan negara. Amatlah jelas melalui pelbagai laporan berwibawa bahawa dana 1MDB (melalui SRC International) telah dialirkan kepada akaun peribadi Dato’ Seri Najib dan kemudian dialir keluar kepada pihak lain.
Rafizi telah dengan berani mendedahkannya satu persatu bermula April lalu. Beliau nekad mahu menarik perhatian rakyat kepada isu dan skandal yang besar yang melibatkan dana dan tabung rakyat, khususnya wang Tabung Haji dan dana pencen Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) berjumlah RM4 bilion atau RM4 ribu juta.
Sejak beberapa tahun lalu, Rafizi dan Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP telah cuba membangkitkan isu berkenaan suntikan dana daripada KWAP kepada 1MDB dan kemudian SRC. Malah Anwar Ibrahim juga telah membawanya ke Parlimen sejak 2014.
Menurut Rafizi, penerima terbesar aliran wang dari tabung rakyat melalui SRC International yang mendapat dana dari KWAP ialah Jho Low. Lain-lain penerima ialah Dato’ Dr Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS; mereka yang ada kaitan dengan UMNO dan/atau BN atau Dato’ Seri Najib atau syarikat-syarikat pembekal; pengamal media dan syarikat media sosial untuk propaganda. Kini, tersenarai juga ialah Tan Sri Shafee.
Yang dipersoalkan ialah mengapa wang tabung rakyat dan pencen itu masuk ke SRC International dan keluar kepada mereka yang tiada kaitan langsung dengan rakyat? Bukankah ini boleh dianggap penyelewengan, pembaziran dan pemborosan terbesar?
Ia menjadi tindakan yang lebih menjijikkan apabila rakyat dibebankan dengan cukai GST yang menyebabkan harga barang naik dan kos sara hidup tinggi. Wang rakyat dengan mudah disalurkan secara peribadi tanpa persoalan sedangkan rakyat digesa, diperah dan ditekan setiap hari supaya bekerja keras mencari pendapatan dan berjimat cermat. Peniaga diminta tidak menaikkan harga. Pentadbir diarah berhemah dalam perbelanjaan. Bajet dipotong sana sini termasuk peruntukan penyelenggaraan bangunan seperti sekolah. Ini amalan-amalan yang baik jika tidak berlaku penyelewengan dan pembaziran. Namun kalau pimpinan tertinggi sendiri menunjukkan contoh buruk apakah rakyat masih perlu tunduk patuh?
Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat
– MAILBAG

No comments:

Post a Comment