`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, July 2, 2017

Lembaga minyak sawit cadang pengguna guna santan sawit

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkata, penggunaan santan sawit secara meluas dapat meningkatkan ekonomi lebih 600,000 pekebun kecil sawit, selain mengawal harga santan kelapa di pasaran.
mpob
JASIN: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencadangkan pengguna di negara ini beralih kepada penggunaan santan sawit sebagai alternatif dalam mengurangkan kebergantungan kepada santan kelapa, selain meningkatkan penggunaan bahan mentah sawit.
Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, secara amnya kebanyakan masakan di negara ini dan rantau Asia berasaskan santan kelapa serta kekurangan bekalan kelapa sentiasa berlaku apabila ia tidak diurus dengan baik.
Beliau yang juga ahli Parlimen Jasin berkata, MBOP sentiasa melaksanakan pelbagai penyelidikan dan percubaan secara berterusan menggunakan santan sawit bagi menghasilkan makanan, termasuk dodol, cendol, nasi lemak dan beberapa makanan lain menggunakan santan kelapa.
“Inisiatif ini dilaksanakan bukan untuk kita menghentikan kebergantungan terhadap buah kelapa, terutama santan kelapa sepenuhnya yang digunakan sejak dahulu lagi, tetapi untuk mempelbagaikan pilihan kepada pengguna.
“Kita tidak boleh bergantung hanya pada satu bahan, iaitu kelapa sahaja kerana ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan dan terpaksa mendapatkan bekalan dari luar, terutama pada musim perayaan,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya hari ini.
Pelbagai makanan disaji menggunakan bahan mentah sawit, termasuk nasi lemak, cendol, dodol rendang pada majlis rumah terbuka itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Kushairi Din.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, penggunaan santan sawit secara meluas di negara ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan ekonomi lebih 600,000 pekebun kecil sawit di negara ini pada masa depan, selain mengawal harga santan kelapa di pasaran.
Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan pakar nutrisi MPOB, santan sawit mengandungi 50% lemak tepu berbanding 92% dalam kandungan santan kelapa dan kandungan kolestrol lebih rendah serta baik untuk kesihatan.
“Dodol yang dihasilkan menggunakan campuran santan kelapa dan santan sawit juga dilihat kurang berminyak berbanding santan kelapa sepenuhnya. Selain itu, dodol yang dihasilkan menggunakan campuran santan sawit lebih tahan lama dan tidak berbau tengik,” katanya.
Sementara itu, Kushairi berkata, secara dasarnya pengeluaran sawit di negara ini sekitar 20 juta tan setiap tahun, namun penggunaan dalam negara kira-kira 10% daripada jumlah tersebut.
Justeru, katanya, MPOB melaksanakan pelbagai penambahbaikan dalam menghasilkan teknologi baharu untuk mengeluarkan santan sawit bermutu dan tahan lebih lama serta dapat dikomersialkan secara meluas.
“Sehingga kini, hanya 4 usahawan industri kecil dan sederhana di negara ini terlibat dalam pengeluaran santan sawit dan jumlah ini masih kecil berbanding usahawan santan kelapa. Ia mempunyai pasaran, namun ia masih tidak dapat menampung permintaan atau keperluan,” kata Khusairi.
Beliau berkata, kebanyakan usahawan santan sawit itu beroperasi di Lembah Klang dan MPOB berhasrat memindahkan teknologi pengeluaran santan sawit kepada lebih ramai usahawan berminat kerana industri pengeluaran berkenaan dilihat akan berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.