SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar umat Islam membuang sifat negatif dalam diri termasuklah hasad dengki dan fitnah-memfitnah khususnya di media sosial yang boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda mengambil kesempatan menasihati umat Islam agar mencontohi sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri.
“Jauhilah perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443 Hijrah dan baginda menyeru umat Islam khususnya di Selangor untuk memperbaharui azam serta tekad dengan mengubah cara berfikir serta melakukan sesuatu tindakan, ke arah mencapai matlamat kecemerlangan dalam kehidupan.
“Beta berharap sambutan Maal Hijrah kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran serta kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni di dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.
“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.