`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, August 1, 2021

Kekal patuhi Ordinan Darurat berkait PKP, jangan ambil risiko, kata peguam

 

Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit tetap berkuat kuasa, dan peraturan serta SOP ditetapkan KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan masih diguna pakai, kata Bastian Pius Vendargon.

PETALING JAYA: Seorang peguam menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi Ordinan Darurat berhubung kawalan pergerakan walaupun keadaan darurat berakhir pada 1 Ogos.

Bastian Pius Vendargon berkata, ramai peguam berpendapat bahawa ordinan berkenaan, yang diluluskan dengan dekri, belum dibatalkan secara rasmi dan mungkin masih sah.

Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa Ordinan Darurat kekal sah enam bulan selepas darurat berakhir.

Di samping itu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit tetap berkuat kuasa, dan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP), termasuk sekatan perjalanan dan pergerakan, yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Kesihatan, masih diguna pakai.

“Banyak bergantung kepada bagaimana negara menangani persoalan mengenai sama ada ordinan-ordinan berkenaan telah dibatalkan atau tidak.

“Semestinya ia tidak terbatal, kerana hanya Parlimen boleh membatalkannya. Ini tidak berlaku kerana ia tidak pernah dibentangkan di Parlimen untuk pembatalan,” katanya.

“Keputusan untuk membatalkannya mungkin telah dibuat tetapi ia belum dibatalkan,” tambahnya.

Yang di-Pertuan Agong menafikan baginda memberi perkenan bagi pembatalan Ordinan Darurat, yang pada awalnya diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan pada hari pertama sidang khas Parlimen Isnin lalu.

Kerajaan telah mewartakan enam Ordinan Darurat sejak Januari.

Antaranya adalah undang-undang yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), dan hingga RM50,000 bagi syarikat.

Ordinan berkenaan berkuatkuasa pada 11 Mac. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.