Perhatikan siapa Melayu yang acah-acah positif dengan Taliban. Bunyinya di media sosial mesra Taliban. Perhatikan. Perhatikan juga mana-mana parti politik yang meraikan Taliban, jika ada, elok buat bantahan beramai-ramai agar Istana Negara sedar. Faham Taliban menggugat Perlembagaan negara ini, dan jika diangkat, melanggar Rukun Negara.
Siapakah Taliban? Berdasarkan sejarah lalu, mereka itu akidahnya Maturidi; fikahnya Hanafi dan sekolah pemikirannya Deobandi. Maka fatwanya itu keras, berbolak-balik, tujuannya memerangkap. Cara fikirnya, kalau tidak Islami maka kafir.
Ketika semua negara meninggal dan mengosongkan kedutaan masing-masing. Hanya ada empat negara yang memilih untuk tidak meninggalkan Kabul. Negara itu adalah Rusia, China, Pakistan dan Iran. Untuk Iran, ketetapan untuk tidak meninggalkan Afghanistan tentu menimbulkan tanda tanya. Tambah Taliban pernah membunuh sembilan diplomat Iran pada 1998. Hampir-hampir Iran menyerang Afghanistan ekoran insiden berdarah itu. Mungkin juga Iran memilih berada di Kabul untuk memerhati. Syiah di Afghanistan bukan sedikit. Kejatuhan negara itu ke tangan Taliban juga menyebabkan limpahan pelarian yang tidak tertanggung lagi buat Iran yang sedia parah oleh sekatan ekonomi antarabangsa.
Kembali kepada Taliban, siapakah Taliban? Mereka itu akidahnya Maturidi; fikahnya Hanafi dan sekolah pemikirannya Deobandi. Melayu yang mesra dan manja-manja dengan Taliban tahukah mereka itu, apa Deobandi?
Darul Ulum Deoband tertubuh pada Mei 1866 di India. Ia memilih Hanafisme, sepertinya sebahagian dinasti Abbasiyah, dan Uthmaniyah. Hanafi berpengaruh di benua India ketika era Mughal. Mereka bergantung kepada himpunan fatwa Hanafi zaman lalu; antara lain Hidaaya oleh al-Marghinani dan Fatawa e-Aalamgiri yang dikumpul ketika era Aurangzeb (1618-1707).
Di awalnya, Deoband dengan kerangka Shah Waliullah itu ada sisi-sisi munasabahnya. Antara lain, mereka melawan penjajah British, tetapi selepas itu Deoband adalah kilang melahirkan fatwa-fatwa pelik. Tuan Guru Nik Abdul Aziz mujur pernah dicelup al-Azhar selepas Deoband, maka kita melihat beliau ada basah-basah progresifnya juga sedikit sebanyak.
Deobandi ini sentralnya fikah Hanafi. Maksud saya, apa saja yang penting pada Deobandi kembali ke hukum fikah. A Faizur Rahman (2014) dalam sebuah esei beliau yang bagus ‘The Deobandi Fatwa’ menyebutkan perihal Deobandi begini:
“For Deoband, religious knowledge only means one thing: fiqh or jurisprudence of the Hanafi school.”
Akan tetapi, barang diingat Hanafi itu boleh dikira-kira mazhab yang agak terbuka juga kerana salah satu sumber hukumnya adalah “istihsan” yang menimbangkan rasional. Sekarang Imam Hanafi sudah tiada, pengikutnya sudah tunjuk bijak sendiri.
Hayat Deobandi tumbuh di atas fatwa. Meskipun fatwa itu sekadar satu pandangan tetapi lama-kelamaan ia mempunyai nilai yang digemari. Untuk orang jahil, fatwa atau pertanyaan kepada agamawan Deoband ini jadi satu ketagihan. Yang mengeluarkan fatwa pula merasai nikmatnya dicari dan seronok ditanyai.
Ada pertanyaan misalnya, apa hukum perempuan menunggang basikal. Jawapannya haram. Apa hukumnya menyambut hari lahir. Hukumnya ya haram. Banyak lagi haram tentunya.
Apabila Deobandi tiba atau merebak ke Pakistan. Ia mempunyai gilanya sendiri. Asal-usul Deoband yang obses kepada Hanafisme itu menjadi sektarian, atau mabuk kemazhaban. Di Pakistan, saat ia berlaga dengan Syiah yang ramai, gila fatwa itu menjadi sesuatu yang menakutkan. Tindih gabung antara mabuk fatwa dan faham sektarian Deoband itu perlahan-lahan mematikan orang Syiah. Deobandi Pakistani melancapkan fatwa yang banyak. Maka perempuan dilarang ke sekolah, atau Syiah dan Ahmadi itu bersalah dalam sejarah maka boleh dibunuh. Justeru tembak buat mereka yang enggan mematuhi fatwa, contohnya Malala Yousafzai, penerima Hadiah Nobel Keamanan. Beliau nyaris mati, hanya kerana ingin ke sekolah. Fatwa Deobandi Pakistan juga mengekori Syiah ke mana sahaja. Mereka dibom, dan dilenjan. Baca sahaja karya-karya Khaled Hosseini untuk memahami nasib orang Hazara di Afghanistan misalnya.
Saat Afghanistan diasak Soviet Union, ramai rakyat negara itu melarikan diri ke Pakistan. Kerja mudah ialah menghafal Quran, belajar fikah; pandai-pandai sedikit boleh onani fatwa dan untuk masyarakat yang jahil dan bodoh, mereka menyembah agamawan tiga suku ini. Tolong pakai jambang sekali. Tanpa sedar madrasah dan sekolah Deobandi membanyak di Pakistan. Yang belajar di sekolah Deobandi inilah dipanggil Taliban, atau “yang belajar”.
Taliban bukan Wahabi. Kalau Wahabi mereka itu akidahnya tumbuh daripada Muhammad Abdul Wahab, fikahnya Hanbali; kerangkanya duit petrol datang dari atas. Bila bergabung dengan kapitalisme dan berhala dagang, kita dapat melihat watak mewah Saudi seperti yang ada di Mekah dan Madinah. Taliban, akar akidahnya Maturidi iaitu sama dengan Sunni (seperti kita di Malaysia) tetapi fikahnya Hanafi. Kerangkanya duit, tetapi datang dari bawah (charity). Maka derma tin Milo berlegar. Taliban, mereka tidak memperihalkan hak asasi manusia, seronok berfatwa, menyekat dan menodai wanita, dan terjerumus dalam kejumudan.
Jadi, Taliban lebih dekat dengan Melayu dari Wahabi. Bila Taliban menyatakan mereka ingin menegakkan negara Islam (mimpi Shah Waliullah yang tidak kesampaian), tentu sahaja ramai Melayu yang memberahikan Taliban.
Di satu masa, Taliban dan Wahabi berjimak dalam senyap. Ia menghasilkan teror. Raksaksa seperti Osama Bin Laden. Ingat, ada Melayu tergiurkan perikatan ini, mereka malah menjadi saintis yang mensasarkan orang awam di New York, Bali, Jakarta, dan Bangkok.
Oleh sebab Wahabi itu kadang serasa tidak dapat dicapai, kerana ada kelasnya (orang kaya-kaya usrah di Ampang katakan), perlahan-lahan Taliban yang tak berapa nampak mewah dan ada bodoh-bodoh sikit ini menjadi semacam satu porno yang diidami.
Taliban diintai curi. Taliban dijilat dan dicicipi. Dalam diam. Semua senyap-senyap. Macam dendamkan porno. Apabila Taliban dinyahkan buat sementara oleh pendudukan Amerika Syarikat di Afghanistan 20 tahun lalu, Taliban bercempera dan ada yang lari ke Pakistan semula. Ada yang berjuang di gunung-ganang Afghanistan. Ramai juga tertangkap dan dikurung di Guantanamo.
Selama dua puluh tahun Taliban pendam. Ramai Melayu mengimpikan Taliban. Ia porno, ditenung dan ditontoni curi. Seronok dan khayal asyik mengulitinya. Padahal Melayu Taliban itu hidup dalam negara demokrasi. Melayu Taliban tak peduli. Mereka ingin mengusap dan mendakapi Taliban. Sebab ia memberikan mimpi khayal yang tidak boleh diperolehi. Mana nak tegakkan negara Islam di Malaysia misalnya? Jadi mimpi syariah ala Taliban itu diminati diam-diam.
Hari ini bila Taliban 2.0 Afghanistan terjelma dan terjejer di televisyen, ia seperti sinema porno jadi publik. Ia terpampang di media sosial. Taliban kini terangkat dan tertayang sebagai erotisme syariah yang diingini.
Kita melihat mereka yang giankan porno Taliban ini tanpa rasa segan silu lagi menyatakan rasa ingin menutuhnya. Padahal mereka itu konon-konon menyokong demokrasi.
Kecintaan kepada Taliban ini satu penyakit mental. Ia berbahaya untuk negara ini. Mereka berpotensi menderhaka. Malaysia negara berbilang kaum dan agama. Malaysia ada macam-macam minoriti. Kepornoan Taliban ini mesti dicegah kembali. Tak memadai sekadar ada seribu Ayub Khan kalau ada pencinta porno Taliban dalam kerajaan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.