PETALING JAYA: Seorang wanita Myanmar didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana memukul kepala peniaga sebangsanya menggunakan besi sepanjang 1.2m disebabkan berang mangsa menjual sayur berdekatan gerainya.
Shakilah Kadir Husson, 28, mengaku salah mencederakan Mahmudah Zafar Ahmad, 39, di depan sebuah lot kedai di Kampung Lembah Indah, Selayang Baru dekat sini pada 8 malam 30 Julai lepas, menurut laporan Bernama.
Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni turut memerintahkan dipenjara 10 bulan jika gagal membayar dendanya.
Mengikut fakta kes, perselisihan faham berlaku antara Mahmudah dan Shakilah selepas mangsa tidak mengendahkan permintaan tertuduh supaya tidak berniaga berdekatan gerainya.
Tertuduh kemudian memukul kepala dan badan mangsa beberapa kali menggunakan sebatang besi panjang.
Terdahulu, peguam Nik Ahmad Asyraf yang mewakili tertuduh, merayu hukuman denda minimum.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni bagaimanapun mahkamah mengenakan memohon hukuman setimpal kerana mangsa mengalami luka di kepala dan menerima jahitan akibat dipukul besi sepanjang 1.2m itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.