`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 24, 2024

Iklan: Lain yang lulus, lain yang naik, kata DBP

 

Free Malaysia Today
Peraturan sedia ada boleh digunakan untuk menangani masalah papan iklan dalam bahasa asing, kata Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari.

PETALING JAYA
Lambakan papan iklan dalam bahasa asing dipercayai disebabkan pihak tertentu menaikkan iklan yang telah diubah semula, selepas lulus semakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari berkata pada pihak berkenaan perlu memohon pengesahan bahasa dalam proses yang ditetapkan kerajaan untuk menaikkan papan iklan.

Hazami berkata DBP tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya pihak berkenaan mengubah semula iklan tersebut selepas kelulusan diperoleh.

DBP hanya menasihat. Kita akan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak dan kita juga akan semak di peringkat kita – pengiklan tersebut ada tak pernah memohon untuk menaikkan iklan itu,
 katanya kepada FMT.

Hazami berkata masalah bahasa tidak timbul sekiranya semua pihak mengikut peraturan berkenaan iklan yang ditetapkan kerajaan.

Semalam bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menggesa Akta DBP dipinda bagi membolehkan ia mempunyai kuasa mengambil tindakan kepada pemaju perumahan yang sengaja menggunakan nama asing bagi menamakan sesuatu projek.

Menurut Ismail, pindaan itu perlu dibuat bagi mengelak pertindihan kuasa dengan pihak lain seperti PBT.

Mengulas pindaan itu, Hazami berkata pihaknya merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM). DBP adalah sebuah badan berkanun di bawah KPM, melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sementara itu peraturan sedia ada boleh digunakan untuk menangani perkara itu, tambahnya.

PBT tertentu juga boleh turunkan iklan tanpa permit,
 katanya.

Pada Nov 2023, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir yang ketika itu timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menulis pendirian struktur papan tanda iklan perlulah mendapat kelulusan daripada PBT yang tertakluk kepada Garis Panduan Perancangan Papan Tanda Iklan Luar 2009.

Jelasnya di Facebook, perunding perlu mengemukakan pelan kebenaran merancang, pelan bangunan dan visual atau kandungan papan tanda iklan.

“Dari segi kandungan papan tanda iklan, semakan yang dibuat mengawal kandungan paparan papan iklan dengan menekankan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.

Setiap permohonan iklan, PBT akan menghantar draf iklan kepada DBP untuk semakan selanjutnya sebelum diluluskan,
 katanya.

Akmal menulis PBT akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pendirian iklan yang tidak melalui kelulusan PBT, tertakluk kepada undang-undang kecil (UUK) yang diguna pakai seperti UUK Iklan (Bahasa Kebangsaan & Poster Tanpa Kebenaran) bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, Hazami berkata DBP ketika ini tumpu kepada usaha mengukuhkan rasa cinta rakyat kepada bahasa kebangsaan, supaya tindakan penguatkuasaan merupakan langkah terakhir.

“Saya berpandangan belum ada lagi negara di dunia ini menggunakan peruntukan undang-undang untuk menghukum rakyatnya yang tidak guna bahasanya sendiri.

Indonesia, Thailand, dan Perancis, mereka tidak ada akta menghukum sebegitu rupa atas lahir dari kecintaan sejati kepada bahasa kebangsaan,
 katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.