`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 4, 2024

Ebit Lew minta saya buka pakaian, kata saksi

 

Ebit Lew
Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun 2021.

PETALING JAYA
Seorang wanita memberitahu Mahkamah Majistret Tenom bahawa Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, meminta supaya dia membuka pakaian dan menunjukkan semua anggota badannya semasa panggilan video.

Wanita berusia 40-an itu selaku saksi pendakwaan kesembilan, berkata pada mulanya, dia tidak menuruti permintaan Lew itu.

Bagaimanapun semasa panggilan video itu saya terpedaya dan mengikut arahan Lew untuk membuka (pakaian) sedikit demi sedikit (untuk menunjukkan) anggota badan saya,
 katanya semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria pada perbicaraan kes itu.

Saksi itu berkata, dia hanya menghantar gambar mukanya yang diambil melalui galeri telefon bimbitnya kepada Lew.

Wanita itu berkata gambar lain, Lew telah mengambilnya melalui tangkap layar semasa panggilan video berlangsung dan dia menjawab panggilan video daripada Lew sebanyak tiga kali, lapor Bernama.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ram Singh yang mewakili Lew, wanita itu berkata, tiada pihak luar memaksa atau memujuknya membuat laporan polis terhadap Lew.

Pihak luar itu merujuk kepada suami wanita itu dan Firdaus Wong serta Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi, yang kedua-duanya saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Menjawab soalan lain, saksi itu memberitahu bahawa mesej yang berupa ‘playfull manner’ dalam perbualan di aplikasi Whatsapp bersama Lew, adalah untuk mengelak agar tertuduh tidak meminta gambarnya.

Saksi juga bersetuju dengan soalan Ram Singh, bahawa dia tidak dipaksa menjawab mesej Lew.

Wanita itu bagaimanapun tidak bersetuju telefon bimbit kegunaan di rumahnya perlu dihantar ke forensik untuk dianalisis, kerana telefon itu hanya melibatkan perbualan mengenai laporan polis terhadap Lew, selain mesej di Facebook dan Instagram miliknya.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung 9 hingga 11 Dis ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.