`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, October 5, 2024

Ghairah mengundi hilang dek lambakan kempen isu nasional

bendera flag
Penganalisis berkata pengundi Melayu melihat kepentingan pilihan raya umpama perayaan manakala keputusan mengundi golongan bukan Melayu bergantung tawaran berkaitan ekonomi.

PETALING JAYA
Lambakan kempen PRK berpusatkan isu nasional ‘menenggelamkan’ keperluan sebenar pengundi dipercayai antara faktor menyumbang kepada trend penurunan kadar keluar mengundi selepas PRU15, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata keghairahan dan keterujaan untuk mengundi berkurang apabila isu tempatan dekat dengan pengundi yang mengharapkan sesuatu penyelesaian ‘kurang disentuh’ parti politik.

Isu yang berlaku di peringkat nasional biasanya diheret penceramah atau jurukempen parti secara berlebihan ‘menenggelamkan’ isu sebenar yang berlaku di Parlimen atau DUN berkenaan,
 katanya kepada FMT.

Hisomuddin berkata, selain itu keputusan PRK yang dilihat tidak mengubah ‘status quo’ kerajaan negeri mahupun persekutuan turut mempengaruhi minat pengundi khususnya bukan Melayu untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Hisomuddin Bakar
Hisomuddin Bakar.

Misalnya pengundi Cina kebiasaan lebih mengambil perhatian atas peri pentingnya kuasa negeri atau pusat berbanding pertukaran wakil rakyat yang tidak mengubah apa-apa status quo,
 katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan psikologi pengundi Melayu yang melihat kepentingan pilihan raya umpama perayaan dan sentiasa mencatatkan kadar keluar mengundi tinggi, manakala keputusan mengundi bagi golongan bukan Melayu bergantung kepada tawaran berkaitan ekonomi dan perniagaan.

Sekiranya ada kepentingan mereka, akan menyaksikan peratusan (pengundi Cina dan India) lebih tinggi seperti berlaku di PRK Kuala Kubu Bharu. Jika tiada apa-apa tawaran menarik maka peratusan rendah boleh dilihat seperti di Sungai Bakap dan Mahkota,
 katanya.

Katanya, isu ‘terlalu sejuk’ dimainkan oleh parti politik menyebabkan kesukaran media untuk melapor dan mengangkat isu utama, akhirnya gagal menarik pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.

Pengundi luar harus mempunyai keazaman tinggi berbanding pengundi tempatan kerana untuk pulang ke kampung perlu memikirkan kos perjalanan dan sebagainya,
 katanya.

Wajibkan mengundi?

Hisomuddin berkata, langkah mewajibkan pemilih keluar mengundi atau dikenakan tindakan bukan keutamaan kerana sebarang pemilihan wakil rakyat perlu berpandukan kesedaran dan kefahaman pengundi makna sebenar proses demokrasi yang mereka lalui.

Jika dipaksa, mereka mungkin akan mengundi tanpa arah tuju. Akhirnya pemimpin yang dipilih bukan kerana sumbangan, daya kepimpinan dan sebagainya, tetapi dipilih kerana terpaksa mengundi,
 katanya.

Beliau mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencontohi badan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia yang dilihat agresif memanfaatkan media perdana dalam memupuk kesedaran pengundi menunaikan tanggungjawab.

“Antaranya seperti menganjurkan debat calon bertanding serta memanfaatkan penggunaan medium media di pengangkutan awam dan stesen tempat rakyat berkumpul.

Badan pengendali pilihan raya tidak seharusnya hanya menjadi penentu tarikh penamaan calon, tempoh kempen dan hari mengundi sebaliknya perlu lebih daripada itu,
 katanya.

Tharma Pillai
Tharma Pillai.

Turut senada, Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata tiada keperluan mewajibkan mengundi selagi reformasi besar pilihan raya termasuk akta penggal tetap Parlimen belum dilaksanakan.

Namun, katanya kerajaan boleh mempertimbangkan cara undi tidak hadir sebagaimana dilaksanakan di Amerika Syarikat bagi memudahkan pengundian khususnya dalam kalangan pengundi luar kawasan.

“Ini mampu menangani penurunan kadar keluar mengundi yang mungkin didorong faktor ekonomi khususnya dalam kalangan pengundi muda mahupun mereka yang menetap atau bekerja di luar kawasan pengundian.

Mereka perlu mengambil kira kos seperti bayaran minyak kereta, upah mendapatkan penjaga untuk anak, membeli tiket kapal terbang dan lain-lain,
 katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.