`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 18, 2024

2 ditahan menyamar anggota SPRM

 

Free Malaysia Today
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat (tiga dari kanan) dan pegawainya menunjukkan peralatan yang digunakan bagi penyamaran anggota SPRM dalam sidang media khas di IPK Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU
Polis menahan dua lelaki dipercayai menyamar anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata lelaki berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan secara berasingan pada 11 pagi serta 9 malam tadi oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am menerusi Operasi Taring Wawasan.

“Hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Kasa, Pasir Mas dan menemui pelbagai peralatan dan barangan berkaitan SPRM.

“Polis antaranya merampas sepucuk pistol berisi lapan butir peluru, gari dan kad kuasa SPRM disyaki palsu dalam pacuan empat roda dinaiki suspek,” katanya dalam sidang media khas di IPK Kelantan di sini.

Menurutnya, polis turut menemui lencana dan lambang SPRM pelbagai saiz, baju berlambang SPRM yang dipercayai digunakan untuk penyamaran anggota agensi antirasuah itu.

Berdasarkan siasatan, katanya, suspek kedua dipercayai rakan subahat suspek pertama.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek pertama mengaku memiliki barangan berkaitan SPRM sejak tiga tahun lepas dan membelinya dalam talian.

“Kami percaya suspek membelinya untuk tujuan penyamaran dan siasatan sedang dibuat bagi mengetahui tujuan suspek menyamar anggota SPRM.”

Beliau berkata, kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif dadah direman seminggu bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.