PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan memberi kuasa lebih luas kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) untuk mengatasi masalah peningkatan jumlah pegawai pasukan itu terbabit dalam jenayah komersial.
Kelmarin, Ketua Polis Negara Razarudin Husain melahirkan rasa terkilan susulan 22 anggotanya terbabit dalam jenayah itu tahun lalu manakala 23 dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata keadaan itu menunjukkan ada kelemahan dalam kawalan dan pengawasan integriti agensi penguatkuasa yang memerlukan tindakan segera.
Menurutnya, tindakan awal boleh dipertimbang termasuk memperkasakan IPCC yang ditubuhkan Jun tahun lalu untuk mengendalikan aduan dan siasatan terhadap dakwaan salah laku selain menasihatkan kerajaan perkara berkait integriti polis.
“Kes sering diserahkan kepada polis sendiri dan itu menimbulkan isu konflik kepentingan.
“Jadi kena perkasa dan beri lebih kuasa supaya IPCC dapat meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kes salah laku berkaitan (termasuk kes jenayah komersial),” katanya kepada FMT.
Sementara itu, pakar jenayah dan kriminologi bebas Shahul Hamid Abd Rahim berkata peningkatan kes salah laku pegawai polis memerlukan pimpinan melakukan tindakan drastik dengan mengenakan hukuman ‘serta-merta’.
“Tindakan awal perlu diambil serta merta, sama ada tindakan disiplin buang kerja atau menuduh di mahkamah dan sebagainya. Dengan itu, mereka yang ingin melakukan kesalahan baru akan berfikir sebaik-baiknya sebelum bertindak.
“Jika tidak akan berpanjangan,” katanya.
Shahul berkata kerajaan juga perlu menyemak semula dasar, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) kerja pegawai polis bagi membendung salah laku yang boleh merosakkan imej agensi penguatkuasa.
“Mungkin ada kelemahan dalam SOP yang mendedahkan mereka terbabit jenayah komersil,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.