`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 16, 2024

Bola kembali di kaki Sanusi

 

hishamuddin-aun

Ketika sudah nampak ada sinar di hujung terowong gelap buat pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam masalah kewangannya, namun semuanya tidak menjadi apabila rundingan dengan sebuah syarikat yang berminat mengambil alih 100 peratus saham kelab itu terhenti tiba-tiba.

Awalnya tawaran itu digambarkan seperti orang mengantuk disorong bantal, namun keputusan KDA FC tidak meneruskan rundingan dengan DSAT Group melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) dalam usul pengambilalihan itu membayangkan ia mempunyai sebab-sebab yang amat kuat memutuskan demikian.

Apa yang dijanjikan DSAT Group? Selain liabiliti kelab itu akan diambil alih sepenuhnya, KDA FC akan menjadi kelab bola sepak pertama mempunyai hospital sendiri di bawah MMC sebagai salah satu sumber pendapatannya – kelab itu akan mempunyai 40% saham dalam hospital swasta terbabit.

Di samping itu, banyak lagi syarikat yang akan dimiliki oleh KDA FC sekiranya DSAT Group mengambil alih kelab itu sebagai sumber kewangan kelab supaya tidak berharap kepada tajaan semata mata selain bantuan kerajaan negeri.

“Kita akan menaik taraf sehingga 200 katil di Mahsuri Medical Centre dan memfokus pendapatan tahunan sebanyak RM500 juta. Sekiranya ini direalisasi dalam tiga tahun mendatang, KDA FC boleh setanding dengan kelab-kelab lain. Ini harapan saya,” kata Pengerusi Eksekutif DSAT Group Azizul Tandek dalam kenyataan pada 3 Nov.

Ini disusuli surat tawaran Ketua Pegawai Eksekutif MMC Dr Zaki Zamani Abd Rashid kepada KDA FC untuk memiliki kepentingan yang ditanggung kelab berkenaan. Pada 7 Nov, KDA FC memberi maklum balas untuk merujuk tawaran itu dengan pihak peguam kelab bagi membincangkan asas serta terma tawaran dengan lebih terperinci.

Bagaimanapun, tawaran itu cuma tinggal harapan apabila KDA FC pada 11 Nov memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan mengenai penjualan 100 peratus sahamnya kepada MMC.

“Pihak KDA FC telah menghantar surat kepada pihak MMC pada 11 Nov 2024 memaklumkan untuk tidak meneruskan perbincangan. Pihak KDA FC mendoakan yang terbaik kepada MMC dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan,” kata kelab itu dalam kenyataannya tanpa memberi sebarang huraian.

Harus tidak mudah untuk KDA FC menolak tawaran berkenaan pada ketika ia menanggung tunggakan gaji pemain-pemain lebih enam bulan – antara sebab seorang lagi tonggak import dan juga ketua pasukan, Sony Norde, memilih untuk angkat kaki dari skuad Helang Merah itu.

Jauh lebih menyulitkan ialah kesan psikologi ke atas pemain-pemain yang tentunya mengharapkan ada penyelesaian dengan hadirnya tawaran daripada MMC itu. Apakah mereka akan kembali memboikot latihan seperti yang dua kali mereka lakukan sebelum ini?

Jika tidak pun, adakah mereka mampu memberi tentangan bersemangat dalam perlawanan-perlawanan seterusnya – mereka sudah keciciran lapan mata daripada tiga perlawanan terakhir apabila seri 1-1 dengan PDRM FC, dibelasah 5-2 oleh Sabah FC dan tewas 0-1 kepada Selangor FC – dan kini terperosok di tangga ke-10 carta liga.

Ketika ramai yang tertanya-tanya dengan keputusan mengejut KDA FC itu, Menteri Besar Sanusi Nor yang juga presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memberi sedikit bayangan dengan menyatakan harapan agar DSAT Group melalui MMC benar-benar mempunyai kemampuan untuk menguruskannya.

Sanusi mungkin tidak mahu membuat tuduhan tetapi harapan seperti dinyatakannya boleh dibaca sebagai satu kecurigaan apakah tawaran DSAT Group itu mungkin hanya indah khabar dari rupa – tambahan selepas KDA FC melakukan risikannya sendiri daripada pihak-pihak yang dipercayai.

Menjelaskan bahawa urusan pemilikan KDA FC – diswastakan sepenuhnya pada 2022 — tiada sangkut-paut dengan kerajaan negeri, menteri besar tetap memberi pesanan agar tidak berlaku sebarang penipuan dalam perkara itu.

“Kalau ada kemampuan, silakan. Kita harap dan berdoa dia (DSAT Group) adalah kemampuan. Jangan ‘scam’ lah, belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah. Macam ‘scammer’ tak baguslah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani pada 7 Nov.

Difahamkan kenyataan itu merujuk kepada satu hantaran Azizul di laman Facebooknya yang mendedahkan bahawa jumlah hutang yang ditanggung Kedah FC kini berjumlah RM14 juta selain sebarang tindakan untuk mengambil hutang sebanyak itu bukan satu perkara remeh.

“Pihak sana (KDA FC) yang datang kepada saya. Oleh kerana pertimbangan dan simpati terhadap pemain dan juga staf yang tidak dibayar gaji berbulan-bulan, DSAT membuat keputusan untuk ambil alih KDA FC 100 peratus.

“Apabila pihak kami keluarkan duit 100 peratus, apa pula KDA FC akan bagi kami? Sebab itu keputusan untuk mengambil 100% supaya kami urus semuanya sendiri. Orang luar boleh pertikai tapi untuk mengambil hutang sebanyak RM14 juta ni bukan benda yang kecil.

“Pihak DSAT nak bantu pulihkan ekonomi dan juga taring KDA FC. Supaya tidak ada masalah mestilah kami dah kaji formula kami sendiri. Dan tidak perlu semua pihak tahu cara atau bagaimana kami nak pulihkan. Itu kelebihan DSAT Group,” katanya dalam hantaran itu.

Sebaliknya kepada KDA FC dan pemilik saham majoritinya, Mohd Daud Bakar, kerahsiaan dalam butir-butir rundingan telah didedahkan di samping timbul keraguan terhadap kemampuan sebenar DSAT Group untuk memenuhi janji-janjinya.

Di sebalik tiada ‘Pelan B’ dalam jalan keluar daripada masalah kewangannya, KDA FC enggan mengambil risiko, sebaliknya meneruskan ikhtiar mencari penaja lain – rundingan masih berlangsung — dalam menjamin kelangsungan KDA FC dalam Liga Malaysia musim 2024/2025 ini. Pada kelab itu, lebih baik berhati-hati daripada gelap mata dengan tawaran secara membuta-tuli.

Kegagalan rundingan dengan DSAT Group itu juga bermakna bola kini kembali di kaki Sanusi yang sebelum ini berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi kelab itu.

Setakat ini, tidak timbul sebarang keraguan terhadap kemampuan menteri besar untuk menjadi penyelamat

Dalam keadaan KDA FC sedang kelemasan, pengumuman menteri besar sebelum ini bahawa kerajaan negeri sedia menimbangkan untuk membantu pasukan itu yang disalurkan melalui KFA harus sesuatu yang melegakan dan dinantikan sebagai talian hayat.

“KFA akan bantu tapi kami tidak boleh berurusan secara terus dengan sebuah syarikat yang mengurus KDA FC. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu. Mereka perlu lebih dahulu berhubung dengan KFA,” kata Sanusi pada 15 Okt.

Kalau bukan Sanusi, siapa lagi? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.