Semasa saya menulis artikel ini Angkatan Tentera Malaysia baru mengesahkan enam anggota tentera kita cedera di Lubnan. Mereka adalah anggota Batalion Malaysia atau Malbatt yang melaksanakan misi pengaman bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mereka cedera susulan insiden letupan ketika dalam pergerakan dari Beirut ke Kem Marakah. Menurut kenyataan markas ATM letupan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan awam yang sedang menghala ke Beirut lantas mengakibatkan kerosakan bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.
Kenyataan ATM tidak memberitahu siapa yang ‘menyasar letupan’ ke atas kenderaan awam yang ia katakan itu. Reuters memetik kenyataan tentera Lubnan berkata serangan dilakukan Israel.
Anggota Batalion Malaysia yang cedera dilaporkan mengalami kecederaan ringan. Alhamdulillah. Namun hakikatnya mereka cedera dan kita tetap sedih.
Kita tahu Israel sejak September lalu melancarkan serangan udara dan darat di Lubnan atas alasan memburu Hizbollah. Setakat ini lebih 3,000 rakyat Lubnan terkorban dan 14,000 cedera. Pada masa sama Israel meneruskan genosid di Gaza. Lebih 40,000 rakyat Palestin terbunuh atau dibunuh. Dan baru-baru ini Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Iran dan Syria.
Pada 10 Okt lalu Israel memusnahkan menara kawalan tentera pengaman PBB di Lubnan mencederakan beberapa anggota tentera.
Bagi saya Israel mencabar PBB dan dunia terutama negara yang menyokong Palestin seolah-olah berteriak ‘apa kamu boleh buat ke atas aku? Semakin samseng sejak kebelakangan ini.
Semalam Parlimen Jerman melulusan usul bahawa sebarang kritikan ke atas Israel dianggap ‘antisemitic’. Pasti ini adalah satu moral ‘booster’ buat mereka. Dan dengan menangnya Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat beberapa hari lalu Israel bertambah semangat untuk melakukan apa yang mereka sedang lakukan. Tengok sahaja laporan agensi berita antarabangsa mengenai serangan bertali arus Israel ke atas Gaza dan
Lubnan. Bagi saya dipertingkatkan seakan bagi meraikan kemenangan Trump.
Benjamin Netanyahu antara pemimpin dunia paling awal mengucapkan tahniah kepada Trump. Jelas Netanyahu yakin bantuan AS kepada negaranya akan lebih besar berbanding bantuan diberi Joe Biden.
Beberapa hari sebelum pilihan raya presiden AS 5 Nov lalu wartawan terkenal Mehdi Hasan mengulangi apa yang beliau kerap katakan mengenai Trump. Yakni kemenangan Trump kelak akan memburukkan keadaan di Timur Tengah. Sekarang dengan menangnya Trump adakah apa yang dikhuatiri Mehdi akan menjadi realiti?
Bagi beliau, Trump ialah presiden AS palig anti-Palestin dalam sejarah. Mehdi mengingatkan kita bahawa Trumplah yang mengiktiraf Israel sebagai negara yang sah sekali gus menyokong langkah menamakan Jerusalem atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Semasa menjadi presiden AS kali pertama dulu Trump memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem. Setahu saya tidak ada negara lain berbuat demikian.
Mehdi juga mengingatkan kita, Trump dan Netanyahu atau Bibi adalah kawan baik. Menerusi ‘talk show’ di televisyen dikendalinya Mehdi sering menyiarkan semula klip video Trump memberitahu media bahawa Netanyahu ‘is doing a good job’ di Gaza dan mesti dibiarkan untuk ‘finish his job’. Dan kita tahu Trump (dan semua pemimpin barat) menyifatkan serangan Israel di Gaza adalah sesuatu yang ‘justified’ kerana ia berhak ‘mempertahankan diri’.
Banyk lagi ‘bukti keakraban’ Trump terhadap Israel dihuraikan. Saya tidak perlu ulang di sini. Hujah Mehdi boleh ditonton di saluran YouTube.
Dua hari selepas Trump menewaskan Kamala Harris BBC menyenaraikan tujuh perkara yang Trump kata beliau akan lakukan sebagai presiden. Ini termasuk menghentikan perang Ukraine. Perang Gaza tidak dimasukkan dalam ‘Trump’s to do list’.
Penyokong Trump selama ini bangga beliau adalah presiden AS yang antiperang. Merujuk tiada perang yang membabitkan AS semasa beliau menjadi presiden kali pertama. ‘They have a point’. Mengapa tiada perang waktu itu? Masing-masing ada pandangan tersendiri.
Semasa berkempen untuk jadi presiden kali kedua Trump pergi ke Dearborn, Michigan bandar majoriti rakyat AS keturunan Arab, sesuatu yang Harris tidak lakukan. Dan Trump menjemput pegawai Arab dan Muslim, juga imam ke atas pentas bersamanya sambil menyifatkan mereka itu ‘manusia hebat’.
Walaupun Trump mempunyai sejarah anti-Muslim yang panjang serta membuat kenyataan dan dasar antiimigrasi beliau berjanji ‘to bring peace to the region’ iaitu rantau Timur Tengah.
Bagi Mehdi Presiden Trump ‘is a bullshitter’. Jadi adakah Trump ‘sembang kari’ dengan Netanyahu apabila berkata perdana menteri Israel itu sedang melakukan kerja baik di Gaza dan mesti dibenarkan menyelesaikan kerjanya? Atau adakah Trump ‘sembang kari’ di Dearborn di hadapan ‘Arab Americans’ dan pegawai Arab, Muslim dan imam yang beliau panggil ‘great people’?.
Orang Malaysia tahu apa makna ‘sembang kari’. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.