`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 3, 2024

Fadhlina! Mat Sabu! Jom ajar anak pegang cangkul

 

ronasina

Dua isu yang menarik untuk saya baru-baru ini ialah isu ‘Putra’ pada Universiti Putra Malaysia yang ingin dikembalikan semula dengan perkataan ‘Pertanian’ oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan satu lagi tentang kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mahu mansuhkan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan bagi mengelak anak-anak kita jadi ‘stress’. Kalut kita disebabkan dua isu ini. Yang setuju, setujulah. Yang tak setuju memang mengecam.

Untuk isu Fadhlina, saya telah diminta oleh kawan saya terutama dalam kalangan guru sendiri untuk saya nyatakan pandangan. Agak lama juga saya berfikir untuk menjawab. Sebagai bekas guru saya faham apa yang sedang diutarakan oleh menteri pendidikan kita itu. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini telah lama saya dan rakan guru debatkan. Ia ada pro dan kontra. Yang dimaksudkan Fadhlina ialah agar murid-murid tidak ‘stress’. Lebih serius lagi ialah kita tidak mahu lahirkan pelajar yang hanya menghafal semata-mata untuk lulus peperiksaan tetapi ilmu yang dipelajari itu tidak langsung melekat di jiwa. Pembelajaran wajiblah dapat menghasilkan insan berilmu yang akan menggunakan ilmunya untuk berbakti semula kepada bangsa, negara dan agama.

Sistem ‘exam-oriented’ telah memaksa pelajar menggunakan apa juga cara untuk lulus peperiksaan dan dapat sijil. Selain belajar, pelajar juga boleh mengambil jalan kotor seperti meniru, memplagiat, menghafal tanpa memahami – yang mana taktik ini mampu juga mencapai matlamatnya.

Janji aku lulus! Janji aku dapat sijil! Inilah generasi yang kita tidak mahu malah ia sudah wujud sekian lama. Di peringkat pendidikan tinggi bukan perkara biasa apabila budaya meniru dan plagiat diamalkan demi segulung ijazah.

Persaingan sengit untuk lulus inilah antara faktor pelajar mengalami tekanan emosi. Untuk pengetahuan, kadar pelajar mengalami tekanan emosi begitu meningkat sejak akhir-akhir ini. Inilah yang sangat dipandang serius oleh Fadhlina dan kementeriannya itu. Bertitik-tolak daripada kes itulah datangnya idea untuk memansuhkan peperiksaan.

“Yang kalut dan kecoh ni sebenarnya mak bapak. Budak-budak sebenarnya mampu mengikut kurikulum yang ada tapi bila mak bapak tak dapat jawab soalan peperiksaan itu, mereka yang menggelabah. Mereka sendiri yang meletakkan harapan tinggi kepada anak mereka sehingga anak jadi tertekan. Tak ada isu pun jika mereka memahami keperluan fisiologi dan psikologi kanak-kanak serta remaja,” kata kawan saya.

“Cuma, dalam hal Fadhlina itu penyampaiannya nampak tergesa-gesa. macam tak kena. Kena ada diplomasi supaya rakyat tak melatah,” sambung kawan saya yang lagi tiga tahun hendak pencen guru besar itu.

Tak tahulah saya apa jawapan paling mujarab! Memang sejak dulu isu pendidikan amat berat dan mencabar bagi menteri yang memikulnya. Sebab itulah ketokohan menteri pendidikan mesti hebat kerana kebanyakan menteri pendidikan kita dahulu akhirnya akan naik menjadi perdana menteri. Antaranya Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi dan Muhyiddin Yassin. Bukan calang-calang mahu jaga pendidikan negara. Kalau gelojoh atau cengeng, payah.

Isu mansuhkan peperiksaan bagi mengurangkan ‘stress’ pelajar ini apabila digabungkan dengan isu kembalikan ‘Pertanian’ untuk gantikan ‘Putra’ pada UPM oleh Mat Sabu membuatkan saya berfikir, ia bagai ada titik pertemuan. Mat Sabu di bidang pertanian boleh mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan yang dikepalai oleh Fadhlina bahawa subjek pertanian tanpa perlunya penilaian dan peperiksaan boleh menarik pelajar dengan aktiviti amalinya. Untuk memajukan ‘pertanian’ bukanlah setakat menukar nama universiti tetapi ia mesti dimulakan sejak awal persekolahan lagi. Jadikan ia mata pelajaran wajib seperti pendidikan jasmani.

Di sinilah Fadhlina perlu mencari formula untuk kurangkan ‘stress’ pelajar dan memupuk kegembiraan melalui pertanian. Kembalikan subjek pertanian.

Dahulu masa saya sekolah menengah rendah memang ada aliran pertanian selain aliran perdagangan dan sains rumah tangga tetapi melainkan perdagangan, dua aliran yang saya sebutkan tadi dilabelkan sebagai subjek untuk pelajar ‘kurang cerdik’ dan pelajar nakal. Dan memang ya, pelajar-pelajar yang tak mampu ikut aliran sains dan perdagangan dihantar ke aliran tersebut. Masalahnya pada waktu itu, pelajar-pelajar tidak begitu nampak objektif aliran tersebut. Bermain dengan cangkul, baja dan tanah seolah-olah macam kelas rendah. Ini kita kena ubah dan wajar diberi penjenamaan baharu.

Melalui subjek pertanian anak-anak kita akan didedahkan tentang hubungan manusia dan alam. Dekatkan anak-anak dengan alam sekeliling untuk menghayati rasa damai. Ini kan zaman ‘healing?’. Justeru, itu ada kaitannya. Berikan mereka ilmu pengetahuan tentang pertanian. Sediakan aktiviti pertanian yang menarik seperti setiap pelajar ada menanam sebatang pokok mereka sendiri untuk dijaga. Itu hanya contoh mudah. Pertanian bukan sekadar tanam, jaga dan baja tetapi lebih besar daripada itu. Untuk permulaan, bolehlah diberikan pendedahan seperti itu misalnya.

Generasi hari ini bergelut dengan teknologi internet dan AI sehingga jauh sangat dengan alam sekitar. Kemahiran menguasai internet dan komputer memang tak boleh dielakkan lagi tetapi ajarkan juga anak-anak kita di sekolah agar mahir memegang cangkul, kenal benih dan pokok, tahu menyemai dan membaja. Pendedahan seawal ini akan dapat mencungkil potensi anak-anak yang cenderung kepada bidang pertanian, seperti diharapkan oleh Mat Sabu itu.

Nampak tak idea ini? Saya hanya mengapungkan idea ini sahaja dan tidak berniat untuk menjelaskannya dengan lebih terperinci di sini. Kajian dan penyelidikan patut dijalankan oleh dua kementerian ini demi masa depan anak-anak dan juga masa depan pertanian itu sendiri.

Saya pernah di dalam pendidikan vokasional selama 20 tahun. Saya melihat generasi hari ini harus menguasai kemahiran tangan iaitu tahu menggunakan alatan tangan, tahu membaiki dan membuat kerja-kerja ketukangan untuk selesaikan hal di dalam rumah mereka sendiri. Hari ini semua mahu menjadi pempengaruh, ‘gamers’ dan sebagainya. Hanya sedikit yang pandai membuat kerja pendawaian (wiring), perpaipan (plumbing) dan membaiki peralatan di rumah. Kemahiran asas menjahit untuk anak-anak tak kira lelaki atau perempuan pun perlu saya rasa. Dari situ ia akan berkembang sama ada kemahiran tersebut hanya dipraktikkan untuk sendiri sahaja di rumah atau boleh juga dikembangkan untuk dijadikan karier.

Subjek kemahiran hidup, sains rumah tangga, sains pertanian dan seni perusahaan wajar dikembalikan kerana ia tidak pernah ketinggalan zaman meskipun kita sedang berada di zaman teknologi AI. Selagi kita memerlukan tiga keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal selagi itulah mata pelajaran yang saya sebutkan itu relevan.

Ayuh abang Mat dan Fadhlina! Jom ajar anak-anak kita pegang cangkul! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.