PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno Sabah menyifatkan Perikatan Nasional (PN) hanya mahu bermain retorik politik apabila bercadang menjadikan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai perkara utama dalam manifesto PRN negeri itu.
Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, berkata ini kerana kebanyakan tuntutan dalam itu telah hampir diselesaikan yang giat dimulakan apabila Barisan Nasional (BN) mula mentadbir negeri itu sejak 1994 dan kini diteruskan bawah kerajaan perpaduan.
“Ini semua retorik politik sajalah, sebab MA63 kebanyakannya telah selesai tinggal lagi beberapa perkara tertentu. Sekali pun nak selesaikan tak perlu masuk dalam manifesto sebab MA63 dah dibicarakan berpuluh tahun lalu.
“Jangan gunakan MA63 sebagai batu loncatan untuk tarik pengundi pada PRN Sabah nanti,” katanya kepada FMT.
Bung mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam yang tuntutan dalam MA63 akan dijadikan sebagai induk manifesto gabungan itu pada PRN Sabah.
Bekas perdana menteri itu berkata, mereka akan menunaikan tuntutan berkenaan sekiranya PN menang.
Mengulas lanjut, Bung berkata salah satu tuntutan iaitu mengembalikan bayaran 40% hasil kepada Sabah dan Sarawak sepatutya direalisasikan selepas 2018, selaras janji dibuat Najib Razak iaitu perdana menteri waktu terbabit.
“Tapi BN kalah (PRU14)…kalau menang mungkin akan dibayar.
“Kalau parti baharu (seperti PN dan Bersatu) baru nak laksana MA63…tak payah main retorik,” katanya yakin rakyat Sabah tidak terpancing dengan kempen PN.
Pada September lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata 11 tuntutan dalam MA63 telah berjaya ditunaikan antaranya penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, pelantikan wakil Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia turut merangkumi pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud persekutuan di dua wilayah terbabit. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.