Ketika Sayyid Hassan Nasrallah, setiausaha agung Hezbullah terbunuh dalam satu serangan udara tentera Israel beberapa bulan lalu, seorang teman saya menunjukkan rasa gembira. Ini begitu berbeza tatkala Ismail Haniyyeh dan Yahya Sinwar terbunuh di mana beliau berduka.
Alasan kegembiraan beliau adalah kerana Hezbullah pernah bersama-sama Bashar al-Assad, dan menentang kelompok Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pimpinan Abu Mohammed al-Jolani. Tidak ada siapa cuba memahami geo-politik rantau tersebut yang mana Amerika Syarikat (baca: Israel), dengan kerjasama Turki dan Qatar, berada di belakang Hayat Tahrir al-Sham ini.
Ketika Nasrallah dan Iran memerangi HTS sebelum 7 Oktober 2023, perspektif mereka adalah tindak-tanduk HTS sentiasa menguntungkan Israel, dan ia adalah satu lagi projek peluasan Israel (Greater Israel pimpinan Benjamin Netanyahu). Sudut pandang Nasrallah dan Iran juga adalah HTS itu sebahagian dari teroris yang mungkin didanai Mossad dan CIA.
Sebagai ingatan, sudut pandang kita di Malaysia pula selari dengan kuasa Barat yang meletakkan habuan jutaan dolar jika Jolani dapat ditangkap hidup-hidup. Masih ingat bagaimana polis negara kita di cabang counter-terrorism menahan pemuda-pemuda yang pergi atau pulang ke Syria untuk ‘berjihad’ dalam tahun-tahun 2012-2016 yang lalu?
Untuk mengelirukan orang seperti teman saya di atas, Barat menggunakan satu enjin berkesan. Gelora di Syria dinaratifkan sebagai ‘perang sektarian’ atau ‘perlawanan mazhab’. Ejen-ejen Wahhabi di seluruh dunia termasuk negara kita memainkan genderang ini sehingga tujuan paling utama, pembebasan Palestin menjadi tenggelam. Sudah tentu isu ini rumit kerana ia turut melibatkan Bashar yang zalim. Demikian mengelirukan, pembantah Assad yang zalim ini mengibarkan wajah Saddam Hussein yang zalim ketika HTS berjaya menakluk Damsyik. Mereka lupa bahawa Assad dan Saddam dari akar parti yang sama — Baath — cuma bezanya Saddam menzalimi puak Syiah di Iraq manakala Assad menindas dengan kejam puak Sunni di Syria.
Projek peluasan Israel ini dipermudahkan oleh penaratifan kembali al-Jolani seorang teroris kepada Jolani si pejuang. Hari ini al-Jolani dilupakan sebagai pengganas. NGO-NGO kebajikan untuk pelarian Syria negara ini yang gembira HTS mengalahkan Assad. Lantas imej baharu Ahmed al-Sharaa dibentuk. Dengan retorika muluk – masa untuk membangunkan Syria baharu — sehingga niat tersembunyi Israel dan Amerika itu terpendam.
Mohammed al-Bashir, perdana menteri baharu Syria juga seorang bekas teroris, diampunkan segera oleh media Barat dan digambarkan sebagai seorang berpendidikan, mahukan ketenangan dan kestabilan atau jaguh yang berjaya menewaskan blok Assad-Rusia-Iran-Hezbullah-Ansarallah Yemen. Bashir dan Jolani sedang aktif meraih perhatian Amerika dan EU.
Bagaimana projek peluasan Israel ini berjaya terbentuk? Hari ini selepas kejatuhan Assad, tentera Israel mengebom semua fasiliti ketenteraan Syria (yang banyak dimanfaatkan oleh Hezbullah untuk menentang Israel di Lubnan dan memberikan latihan kepada Hamas dan Jihad Islam di Palestin). Bukan itu sahaja, lepas kejatuhan Assad; Israel mara di Bukit Golan dan menawan pergunungan Hermon, Syria. Jolani dan HTS enggan menentang Israel, dengan alasan mahu mendirikan Syria baharu terlebih dahulu, dan juga dengan alasan Syria sudah terlalu letih dalam perlawanan. Maka bermaharajalela Zionis di Syria baharu.
Sebetulnya pembentukan imej baharu Jolani menjadi Ahmed al-Sharaa telah lama dirancang. Hari ini media Barat membangkitkan cerita-cerita pendek (cerpen) bagaimana Jolani atau al-Sharaa pernah membesar di kejiranan di Damsyik, bergurau dengan penduduk setempat dan bersuara lemah lembut. Kisah dia bermain bola, pemalu dan entah apa lagi. Sebagai seorang penulis cerpen saya boleh memalsukan apa sahaja kisah demi sebuah naratif jika anda mahu, jadi membacanya sekali imbas memahamkan saya ini dongengan.
Pertukaran imej Jolani dari berserban berjanggut menjadi seorang ‘pejuang’ dengan uniform ala Zelensky Ukraine dan dalam pertemuan dengan wakil-wakil Barat minggu lepas, Jolani sudah bersut mahal. Naratif ini perlahan-lahan membengkak, dan saya yakin lambat laun pihak berkuasa kita yang pernah menahan pemuda-pemudi negara ini yang mahu ke Syria untuk bergabung dengan al-Qaeda akan terlupakan yang Jolani adalah seorang teroris sebahagian dari al-Qaeda dan IS yang pernah membunuh orang awam di Iraq antara tahun 2003 sehingga 2005. Pada tahun 2005 itu Jolani ditahan dan dipenjarakan di Kem Bucca, Iraq di mana beliau berkenalan dengan Abu Bakr al-Baghdadi, pengganas yang membunuh, merogol, dan menghambakan minoriti seperti Yazidi di Iraq.
Kita semua, termasuk NGO kebajikan akan terlupakan Baghdadi si pengganas ini menghantar Jolani ke Syria pada tahun 2011 untuk projek menawan Levant dan seluruh Syria.
Naratif yang digunakan dengan bantuan Israel ialah ini adalah ‘perang mazhab’. Kerakusan Iran menawan dunia Islam (baca: kerakusan Zionis untuk meluaskan wilayah). Malaysia malah terikut-ikut naratif ini di mana penganut Syiah lokal dimomokkan semasa pentadbiran Najib Razak, dan salah seorang daripada mereka Amri Che Mat diculik hilang sehingga hari ini. Para mufti masing-masing semua masuk perangkap dan berdegar-degar membahan anti dan bahaya Syiah.
Pada tahun 2015 dan 2016, Jolani dan pasukannya menawan Idlib di Syria, menjalinkan kerjasama dengan Turki dan Qatar, dan bermulalah projek penaratifan Jolani menjadi Ahmed al-Sharaa. Tiba-tiba Jolani dikatakan lebih toleran, dan kini ingin memisahkan diri dari al-Qaeda, dan mulai membentuk kerajaan di Idlib. Tentu, Sayyid Hassan Nasrallah tidak percaya dengan naratif ini dan bersama-sama Iran dan Rusia menentang kelompok HTS. Assad seperti biasa meneruskan keganasan di dalam negaranya, ini memudahkan cerita bahawa Hezbullah dan Assad itu kawan lantas gambaran lebih menyeluruh dapat ditenggelamkan.
Apabila keganasan di Palestin memuncak, satu kad yang perlu digunakan untuk mengalihkan perhatian dunia ialah Syria. Kita masih belum tahu mengapa Assad jatuh dengan demikian mudah lalu melarikan diri ke Rusia. Kebingungan kita beragaman bila Jolani malah dalam satu wawancara media begitu senang menepis dakwaan beliau adalah pengganas yang pernah memenggal kepala orang sebagai; “itu kesilapan masa lalu iaitu ketika masih muda”.
Senang begitu sahaja perbuatan itu dimaafkan.
Dalam masa yang sama rakyat kita yang pernah terlibat dengan keganasan, iaitu Farik Amin dan Nazir Lep turut dibenarkan pulang. Itu pun setelah mereka mengalami proses neutralisasi yang panjang dan lama. Itu pun, mereka tidak dimaafkan oleh keluarga mangsa pengeboman di Sari Padi Kelab Oktober 2002 dan pengeboman Hotel J.W Marriott 2003 di Jakarta yang kedua-duanya didalangi al-Qaeda yang cabangnya pernah dianggotai oleh Jolani.
Tetapi, untuk Jolani secara misterius, kita nampaknya makin lunak. Tiada pun proses rehab atau terapi. Penyokongnya terus dimesrai. Maklumlah imej Jolani bergunting rambut sambil tertawa di Damsyik sedang ditempel merata, lantas orang terlupa dia dan Baghdadi pernah memancung kepala manusia tidak bersalah di Iraq satu masa lalu.
Semuanya demi memastikan laluan paip minyak dan gas dari telaga minyak Syria akan mengalir tanpa henti ke Turki dan Qatar, yang mana minyak inilah digunakan untuk diisi dalam perut pesawat Israel dan NATO untuk mengebom Palestin, dan Ukraine.
Lihat, betapa mudahnya! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.