`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 3, 2024

Tak semestinya ketua pembangkang jadi calon PM, kata penganalisis

 

Free Malaysia Today
Muhyiddin Yassin tidak semestinya dilantik ketua pembangkang untuk menjadi calon perdana menteri PN susulan cadangan supaya beliau terus menjadi komander gabungan itu, kata penganalisis.

PETALING JAYA
Muhyiddin Yassin tidak semestinya dilantik sebagai ketua pembangkang bagi membolehkan beliau menjadi calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) pada PRU16, kata penganalisis politik.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri, berkata walaupun kebiasaannya ketua pembangkang adalah calon perdana menteri namun konsep itu tidak dilaksanakan dalam politik negara ini.

“Politik di Malaysia ini berdasarkan perbincangan dan kompromi, tidak ada jawatan yang tetap. Walaupun Hamzah Zainudin ketika ini ketua pembangkang di sesi parlimen namun ketika kempen ia boleh berubah,” katanya kepada FMT.

Syaza mengulas sama ada perlunya Muhyiddin menuntut jawatan ketua pembangkang untuk menjadi calon perdana menteri pada mesyuarat gabungan itu 9 Dis depan.

Ia susulan cadangan Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham supaya Muhyiddin terus menjadi komander PN dalam usaha gabungan itu menawan Putrajaya pada PRU16.

Sementara itu, Lau Zhe Wei yang juga dari UIAM pula berpendapat isu utama yang perlu diselesaikan oleh PN adalah calon perdana menteri dan bukannya siapa ketua pembangkang seterusnya.

“Jawatan ketua pembangkang senang, kalau ia adalah syarat oleh PN, tidak perlu guna perkataan tuntut. Ambil sahaja dari Hamzah, kerana dia akan beri sama ada sudi atau tidak kerana pengaruh Muhyiddin dalam Bersatu terlalu kuat dan ia dijadikan sebagai simbolik kepimpinan untuk parti,” katanya.

Manakala Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan pula, berkata tindakan Hilman mengemukakan cadangan itu hanyalah bagi menguatkan tuntutan mereka berkait calon perdana menteri.

“Perkara ini kerana selesaikan dengan cepat sebelum PRU16. Tak boleh ada dua calon perdana Menteri dari Bersatu atau PAS, tak nampak logiknya ada dua nama, jadi dalam hal ni masing-masing akan cuba menonjolkan siapa perlu jadi calon,” katanya.

Minggu lalu, beberapa pemimpin PN antaranya Naib Presiden Bersatu Faizal Azumu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Presiden Gerakan Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung isu pengerusi PN dan calon perdana menteri untuk PRU16.

Faizal dan Lau mempertahankan Muhyiddin manakala Hashim menegaskan PAS lebih layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen serta mempunyai jentera akar umbi kuat, selain mendesak perbincangan mengenainya diadakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.