KUALA LUMPUR: ‘Dr Nisa’ (bukan nama sebenar) terkilan apabila dicop sebagai ‘tamak’ oleh warganet, hanya kerana beliau memperjuangkan isu kebajikan doktor kontrak.
Pegawai perubatan tetap ini, yang minta tidak dinamakan, berkata sebarang kelewatan dalam membetulkan isu berbangkit boleh menyebabkan lebih ramai di hospital kerajaan letak jawatan, lantaran upah yang tidak setimpal dengan bebanan, dan nisbah pesakit dan doktor yang menurutnya tak munasabah.
“Doktor yang tinggal itu sudah terlampau penat dan ‘burnout’. Jadi sudah tentu kebarangkalian mereka nak berhenti kerja lagi tinggi.
“Ramai daripada kami di bawah pengawasan klinik psikiatri, kaunseling dan ada antara mereka mula makan ubat sebab memberi kesan pada kerja dan kehidupan seharian mereka,” katanya yang terlalu sibuk hingga tiada masa untuk membina rumah tangga.
Pada 23 Feb 2023, menteri kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, berkata seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak Kementerian Kesihatan meletak jawatan sejak 2017 hingga 2021.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa antara sebab peletakan jawatan lantikan kontrak itu kerana mereka memilih untuk berkhidmat dengan sektor swasta dan badan berkanun lain yang menawarkan gaji lebih menarik.
Selain itu, ada antara mereka yang membuka klinik sendiri, melanjutkan pelajaran, berhijrah ke luar negara, sebab peribadi, dan masalah kesihatan termasuk tekanan mental.
Nisa mempertahankan kepakaran hospital kerajaan dari kritikan, mengatakan bahawa ia memiliki ramai doktor pakar dengan pelbagai sub kepakaran. “Tapi sudah tentu kualiti kerja kita akan terjejas sebab nisbah pesakit dan doktor tak munasabah.”
Menyentuh tentang bayaran, Nisa akui tidak berpuas hati apabila gred gaji tidak berubah meskipun sudah berkhidmat selama lima tahun.
“Saya doktor pelatih 2016, kontrak 2019 dengan gaji gred UD43, mula diserap sebagai pegawai perubatan tetap pada 2021. Sepatutnya gred gaji naik kepada UD48, mengambil kira dua tahun saya berkhidmat sebagai pekerja kontrak. Tetapi tidak,” katanya.
“Sebagai contoh, generasi doktor kontrak yang bermula gred UD43, sama seperti saya, lambat naik gred gaji kerana tak diambil kira tahun bekerja sebagai kontrak, walhal sebelum pelaksanaan skim kontrak, kenaikan gaji doktor tetap ikut waktu ditetapkan”.
Menurut Nisa, ramai rakan-rakan sepertinya sudah buat rancangan keluar daripada kerjaya ini. “Ada yang sudah berhijrah ke Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand,” katanya.
Pada pandangan Nisa, pengkritik tidak sedar mangsa sebenar dalam isu ini adalah rakyat terutama golongan B40 dan M40.
“Sebab yang kaya pergi hospital swasta,” katanya.
“Disebabkan kurang doktor, tempoh menunggu lagi lama, contoh ada pesakit strok atau sakit dada lambat dirawat dan anda mungkin dapat kerosakan saraf kekal dan yang paling teruk ialah kematian.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.