Lee Kuok Tiung berkata Aliakbar Gulasan menjadi Adun lantikan dari 2020-2025 bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah.

Lee Kuok Tiung berkata, kerjasama itu terjalin ketika Aliakbar menjadi Adun lantikan selepas PRN 2020 hingga 2025 bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pengalaman dan persefahaman terjalin mungkin menjadi faktor utama beliau (dan PAS) membuat pilihan ini,” kata penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada FMT.
Dalam temu bual FMT menjelang PRN bulan lalu, Aliakbar yang juga pesuruhjaya PAS Sabah menyifatkan hubungannya dengan Hajiji sebagai ‘amat baik’ yang membantu melancarkan tugas sebagai Adun dilantik.
Beliau menghargai peruntukan sekitar RM200,000 hingga RM300,000 setahun daripada kerajaan Sabah yang membolehkannya membantu rakyat di kawasan.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Aliakbar, Adun tunggal Perikatan Nasional (BN) di Sabah akan menyokong Hajiji yang mengetuai pentadbiran negeri untuk penggal kedua.
Ia mengukuhkan kedudukan Hajiji yang turut disokong Barisan Nasional (BN), lima wakil rakyat bebas, Upko, Pakatan Harapan (PH), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Lee menolak kemungkinan wujud konflik walaupun PN menjadi pembangkang di peringkat persekutuan manakala wakil rakyat tunggal di Sabah menyokong kerajaan perpaduan.
“Warisan di pusat menjadi sebahagian kerajaan Madani tetapi di peringkat negeri mereka pembangkang…situasi sama juga dengan BN selepas ‘Langkah Kinabalu’,” katanya merujuk episod politik dua tahun lalu.
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula melihat keputusan Aliakbar sebagai komitmen untuk memastikan kelangsungan pembangunan dan perkhidmatan di Karambunai.
“Usaha, perancangan serta perkhidmatan beliau yang bermula sebagai Adun lantikan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
“Ini menunjukkan komitmen Aliakbar untuk memberi khidmat kepada rakyat secara berterusan dan menekankan kepentingan kestabilan kepimpinan di Sabah,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.