`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Monday, June 8, 2026

Bekas Adun Perlis akui SD tarik balik sokongan wujud, kata PAS

 Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari jawab dakwaan mengenai kewujudan SD yang ditandatangani oleh Adun terbabit.

Ahmad Fadhli Shaari and Muhyiddin Yassin
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari kata beliau tidak ragui keikhlasan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, tetapi proses memulihkan kepercayaan yang terguris adalah sukar.
PETALING JAYA:
Tiga bekas Adun daripada PAS mengakui kewujudan akuan berkanun (SD) bagi menarik balik sokongan kepada Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis, pada Disember 2025.

Menurut Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari, pengakuan itu diperolehi dalam siasatan PAS, berhubung peristiwa yang membawa kepada peletakan jawatan Shukri, daripada PAS.

“Siasatan yang dibuat mengesahkan ia wujud berdasarkan pengakuan tiga bekas Adun PAS itu sendiri yang disaksikan oleh seluruh Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Harian Badan Perhubungan PAS Perlis,” katanya di Facebook.

Fadhli menjawab dakwaan mengenai kewujudan SD yang ditandatangani tiga bekas Adun terbabit dan wakil-wakil rakyat Bersatu. Menurutnya, terdapat pihak dalam Bersatu menafikan kewujudan akuan tersebut.

Fadhli turut menyoal mengapa Bersatu tergesa-gesa menghantar nama calon menteri besar tanpa sebarang rundingan dengan PAS, dan jaminan perkara sama tidak akan berulang selepas pilihan raya akan datang, berkaitan calon menteri besar atau perdana menteri.

“Setakat ini saya tidak melihat adanya jaminan sedemikian. Alasan sentiasa boleh dicari kemudian,” katanya.

Fadhli mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menyatakan hasrat untuk terus mengekalkan hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak meragui keikhlasan Muhyiddin dalam menyatakan pendirian tersebut,” katanya, namun menambah hubungan politik “juga perlu diukur melalui tindakan yang berlaku ketika berdepan saat-saat yang paling kritikal.”

PAS menghentikan keahlian Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) pada 24 Disember lalu susulan kemelut politik di Perlis.

Keesokannya, Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan, mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi berkenaan.

Pada hari sama, Shukri meletak jawatan atas faktor kesihatan, dan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mengangkat sumpah menteri besar tiga hari kemudian.

Sementara itu, Fadhli turut menyentuh tentang isu di Negeri Sembilan, berhubung pertikaian mengenai penarikan sokongan Adun Bersatu untuk bersama Umno.

Dalam peristiwa itu, Adun Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) dan Ridzuan Ahmad (Gemas) mengubah pendirian membentuk kerjasama dengan Umno yang telah menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Dalam kenyataan terdahulu, Bersatu berkata ia membuat keputusan berdasarkan pendirian bahawa kerjasama tidak boleh diadakan dengan Umno kerana parti itu tidak memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH), selepas PAS tidak memberi maklum balas kepada cadangannya.

“Apakah keadaan yang begitu mendesak sehingga keputusan yang telah dipersetujui bersama perlu diubah serta-merta? Apakah hambatan yang menyebabkan rundingan tidak boleh dilakukan terlebih dahulu?” soalnya.

Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata dua peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap tahap kepercayaan antara rakan-rakan dalam PN.

Beliau berkata proses memulihkan kepercayaan yang terguris adalah sukar, walaupun hubungan boleh diteruskan dan kerjasama boleh diperkukuhkan semula.

“Apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh PAS dalam masa terdekat pasti akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa, tetapi juga rentetan peristiwa yang telah menghakis kepercayaan yang diberikan selama ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.