`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Monday, June 8, 2026

Penilaian menyeluruh penentu masa depan hidupan liar diselamatkan

 Ia bagi memastikan haiwan yang diselamatkan atau dirampas daripada kurungan haram diletakkan dalam persekitaran yang paling sesuai untuk kebajikan dan kelangsungan hidup jangka panjang.

Setiap haiwan yang diselamatkan perlu jalani penilaian kesihatan menyeluruh dan tingkah laku sebelum pihak berkaitan memutuskan lokasi penempatan haiwan terbabit. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Apabila hidupan liar diselamatkan, sama ada daripada pemburu haram, kegiatan penyeludupan, pencerobohan ataupun yang disimpan tanpa kebenaran, langkah seterusnya bukan semudah membuka pintu sangkar dan melepaskannya keluar, sebaliknya penilaian yang teliti dan berasaskan sains perlu dilakukan untuk menentukan tindakan terbaik bagi setiap haiwan yang terjejas.

Mengulas perkara itu, pakar haiwan Dr Arie Dwi Andika berkata setiap haiwan yang diselamatkan perlu menjalani penilaian kesihatan menyeluruh dan tingkah laku sebelum pihak berkaitan memutuskan lokasi yang tepat bagi penempatan haiwan terbabit.

Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-undang, Penyiasatan dan Keselamatan Malaysia itu berkata penilaian sedemikian amat penting bagi memastikan haiwan yang diselamatkan atau dirampas daripada kurungan haram diletakkan dalam persekitaran yang paling sesuai untuk kebajikan dan kelangsungan hidup jangka panjang.

Arie berkata setiap haiwan yang diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menjalani penilaian menyeluruh sebelum pihak berkuasa menentukan sama ada haiwan berkenaan boleh dikembalikan ke habitat asal atau ditempatkan di zoo, pusat perlindungan hidupan liar atau pusat rehabilitasi.

Beliau berkata proses penilaian merangkumi pemeriksaan fizikal, pemerhatian tingkah laku dan saringan veterinar untuk menentukan tahap kesihatan keseluruhan haiwan dan kesesuaian untuk dilepaskan ke habitat semula jadi.

“Faktor seperti kecederaan, penyakit dan status pemakanan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat. Haiwan yang sihat dan masih mengekalkan naluri semula jadinya mungkin sesuai dilepaskan ke habitat liar,” kata Arie yang juga presiden Persatuan Haiwan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata haiwan yang berada di dalam kurungan untuk tempoh yang lama sering menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri semula dengan kehidupan liar, terutama jika haiwan terbabit bergantung pada manusia untuk mendapat makanan atau tempat perlindungan.

Atas sebab itu, Arie berkata penilaian tingkah laku memainkan peranan yang sama penting dalam menentukan kesediaan haiwan berkenaan untuk dilepaskan semula.

“Ahli zoologi perlu menilai sama ada haiwan ini mampu mencari makanan sendiri, mengelak pemangsa dan berinteraksi secara semula jadi dengan spesiesnya. Kemahiran ini amat penting untuk terus hidup di habitat liar,” katanya.

Arie, yang juga Profesor Madya dalam bidang Undang-Undang, Penguatkuasaan, Penyiasatan dan Keselamatan Haiwan di International University College of Management and Sports (ICMS), berkata haiwan yang dianggap tidak sesuai dilepaskan mungkin akan ditempatkan di zoo, pusat perlindungan atau kemudahan pemuliharaan.

Di lokasi berkenaan, katanya, haiwan tersebut akan terus menerima penjagaan sewajarnya sambil menyumbang kepada pendidikan, penyelidikan dan usaha konservasi.

Beliau berkata pihak berkuasa lazimnya menyimpan rekod terperinci serta laporan penilaian bagi hidupan liar yang diselamatkan termasuk maklumat tentang haiwan yang dilepaskan ke habitat asal dan haiwan yang ditempatkan di fasiliti perlindungan.

Beliau berkata dokumentasi sedemikian membantu pemantauan jangka panjang terhadap kebajikan dan hasil usaha pemuliharaan haiwan itu.

“Matlamat utama adalah untuk mengutamakan kebajikan dan pemuliharaan haiwan. Setiap kes perlu dinilai berdasarkan bukti saintifik dan prospek kelangsungan hidup jangka panjang haiwan terbabit,” katanya. -  FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.