Polis serbu 2 premis kediaman, masing-masing di Gelugor dan Butterworth, tahan 9 individu.

Ketua Polis Pulau Pinang Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam serbuan pertama pada 26 Jun di sebuah unit kondominium di Gelugor, polis menahan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing, kesemuanya berusia antara 29 hingga 44 tahun.
“Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis tersebut sebagai pusat operasi bagi menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi dan mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi laman sesawang 137.com,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Dalam serbuan itu, katanya, polis turut merampas beberapa komputer, telefon bimbit dan pelbagai peralatan elektronik yang digunakan untuk kegiatan itu.
Sementara itu, serbuan kedua dijalankan di sebuah unit kondominium di Marminton Homes, Butterworth semalam.
Menerusi serbuan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 27 hingga 41 tahun di kediaman yang dijadikan sebagai pusat operasi sindiket yang mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia melalui laman sesawang Nova88.
Katanya, sindiket itu menggunakan premis kediaman sebagai pusat panggilan untuk mengurus akaun pelanggan, menerima dan menyelia pertaruhan bola sepak secara dalam talian serta memberi khidmat sokongan kepada pelanggan menggunakan komputer dan telefon yang disambungkan kepada platform perjudian.
“Dalam serbuan itu kami merampas enam komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem Internet serta pelbagai peralatan komputer yang digunakan dalam kegiatan pertaruhan tersebut,” katanya.
Kesemua suspek direman hingga 1 Julai bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Lim berkata, serbuan itu merupakan sebahagian Op Soga XI bermula 11 Jun hingga 19 Julai ini bagi membanteras kegiatan perjudian bola sepak di seluruh negeri.
Setakat ini, katanya, polis Pulau Pinang telah menjalankan 21 serbuan dan menahan 28 individu serta merampas wang tunai berjumlah RM8,935 bersama pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Polis Pulau Pinang akan terus mempergiat Op Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia dengan memberi tumpuan kepada pengesanan pusat panggilan, ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal atau dalam talian,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.