`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Monday, August 17, 2026

Bincang rasa tak puas secara dalaman, Zaliha seru rakan PH

 Naib Presiden PKR Dr Zaliha Mustafa kata tidak adil semua keputusan dan tanggungjawab diletakkan pada bahu Anwar Ibrahim seorang.

Zaliha Mustafa
Naib Presiden PKR Dr Zaliha Mustafa kata perkara melibatkan hubungan antara parti dan kepimpinan kerajaan sebaiknya dibincangkan secara dalaman.
PETALING JAYA:
Naib presiden PKR menyeru rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) agar membincangkan secara dalaman ketidakpuasan hati menyentuh hubungan antara parti dan kepimpinan dalam kerajaan perpaduan.

Dr Zaliha Mustafa mengingatkan bahawa PH terbuka kepada perbezaan pandangan dan kritikan, malah menganggap ia sebagai semak dan imbang.

“Tetapi perkara yang melibatkan hubungan antara parti dan kepimpinan kerajaan sebaiknya dibincangkan terlebih dahulu melalui saluran dalaman supaya tidak menimbulkan sebarang persepsi awam,” katanya kepada FMT.

Zaliha mengulas gesaan perwakilan DAP Kuala Lumpur, Sangeet Kaur Deo, pada kongres khas partinya semalam, supaya jawatankuasa eksekutif pusat menilai semula hubungan DAP dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH dan presiden PKR.

Sangeet berkata DAP wajar kekal dalam kerajaan perpaduan, namun mendakwa Anwar memperkukuh Umno dan melaga-lagakan rakan dalam gabungan kerajaan dan gagal menyatukan rakan gabungan.

Zaliha berkata beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Anwar lebih memperkukuh Umno berbanding DAP.

“Tugas perdana menteri bukan memperkukuh mana-mana parti, tetapi memastikan kerajaan perpaduan kekal stabil dan dapat berfungsi dengan baik untuk rakyat,” katanya.

Zaliha menambah bahawa kerjaan perpaduan dibentuk bersama, keputusan dibuat bersama, dan tanggungjawab juga mesti dipikul bersama.

“Tidak adil semuanya diletakkan di bahu perdana menteri seorang,” katanya.

Kongres khas DAP semalam menyaksikan perwakilan parti meluluskan usul untuk kekal berada dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat tempoh pentadbiran, di sebalik rasa tidak puas hati berhubung prestasi kerajaan.

Pemuda seru PKR kaji hubungan

Sementara itu, seorang pemimpin Pemuda PKR pula meminta partinya mengkaji semula hubungan dengan pemimpin DAP tertentu.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Timbalan Ketua Pemuda Izuan Kasim berkata beberapa pemimpin DAP sering mengeluarkan kenyataan yang memberi kesan ke atas komponen PH lain.

“PKR harus kekal dalam PH tetapi menilai semula hubungan dengan beberapa pimpinan DAP yang sering memberi komen sehingga menyebabkan rakan komponen lain turut terkesan dengan kenyataan mereka,” katanya kepada FMT.

Izuan juga menggesa parti-parti dalam PH supaya berhenti memberi tekanan kepada Anwar. “Seperti PKR tidak memberi tekanan kepada beberapa pimpinan utama DAP.”

Beliau menambah dakwaan bahawa Anwar memperkukuh Umno perlu dibuktikan, dan bukan sekadar membuat tuduhan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.