Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata sasaran enam kerusi pada PRN Melaka perlu disandar kepada kekuatan sebenar di setiap kawasan.

Penganalisis Global Asia Consulting itu berkata, sasaran enam kerusi seperti disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Idris Ahmad tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah dimahukan dalam rundingan bersama Barisan Nasional (BN), sebaliknya peluang sebenar parti itu menang.
Katanya, walaupun PN terutama PAS mempunyai jentera, akar umbi dan momentum politik di beberapa negeri, kekuatan berkenaan tidak semestinya boleh diterjemahkan kepada kemenangan di setiap DUN Melaka.
Setiap kerusi, katanya, mempunyai demografi, calon, sejarah pengundian dan tahap penerimaan berbeza yang perlu dinilai sebelum PAS menetapkan sasaran.
“Jika PN mahu enam kerusi, ukuran sebenar bukan ‘berapa kerusi mereka mahu?’
“Ukuran sebenarnya ialah ‘berapa kerusi boleh menang?’” katanya kepada FMT, sambil mengingatkan BN tidak terlalu selesa dengan kemenangan 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka 2021.
“Kemenangan itu dicatat dengan majoriti tipis, justeru rundingan kerusi perlu mengambil kira keadaan semasa dan bukan semata-mata status penyandang.”
Idris yang juga naib presiden PAS turut dipetik berkata parti mereka tidak mahu meminta kerusi yang tidak sepadan dengan kekuatannya, dengan rundingan dijangka mengambil kira data, suasana politik dan penerimaan pengundi.
Beliau turut mengingatkan tiada parti boleh menganggap sesuatu kawasan mempunyai pengundi ‘putih’ yang akan kekal menyokong mereka kerana corak pengundian semakin dinamik, khususnya dalam kalangan pengundi muda.
Selepas kemenangan besar BN-PN dalam PRN Negeri Sembilan, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengumumkan kerjasama dengan PN akan diteruskan untuk PRN Melaka.
Tetapi, beliau kemudian menegaskan BN akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya dalam PRN Melaka sebelum ini dan terbuka bekerjasama dengan kumpulan politik lain.
Pemerhati politik, A Aziz Azizam dari Universiti Teknologi Mara pula berpandangan minat PAS terhadap beberapa kerusi tidak semestinya satu tuntutan terhadap Umno, sebaliknya sebahagian usaha mencari formula kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Katanya, BN dan PAS perlu mengenal pasti kerusi mempunyai peluang terbaik untuk dimenangi, termasuk mempertimbangkan pembahagian strategik bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
“Jika ada kerusi boleh diberikan secara strategik bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan sebagainya, saya rasa kerjasama seperti ini memang diperlukan BN untuk menawan semula Melaka,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu juga boleh membuka peluang kepada BN dan PN menambah jumlah kerusi, khususnya di DUN yang tidak dimenangi Umno pada PRN 2021.
Baki tujuh kerusi, dua milik PN iaitu Bemban dan Sungai Udang; manakala PH (5) – Bandar Hilir, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, dan Bukit Katil. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.