Mangsa yang ketika kejadian dalam Tahun Tiga, patah tulang tibia atau fibula akibat dihempas ke kerusi kayu.

Peguam Hazwan Hamidun yang mewakili remaja terbabit berkata, mahkamah turut memerintahkan guru Kafa itu, Ahmad Mursyidin Abdullah dan YIT membayar kos RM17,000 serta faedah 5% setahun dari tempoh saman difailkan pada Januari 2023 sehingga penyelesaian penuh kes kepada mangsa.
Beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Yusrin Faidz Yusoff membuat keputusan itu semalam selepas membenarkan rayuan dikemukakan mangsa yang kini berusia 13 tahun melalui ibunya.
“Keputusan Mahkamah Tinggi itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang sebelum ini menolak tuntutan remaja berkenaan.
“Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi mendapati hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini terkhilaf dan gagal menilai keterangan dua saksi mata di dalam kelas sama (dengan mangsa).
“Hakim Mahkamah Tinggi juga mendapati hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila gagal meneliti laporan perubatan pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengesahkan kecederaan itu akibat hentakan kuat,” katanya kepada pemberita di sini.
Pada Januari 2023, mangsa yang ketika itu dalam Tahun Tiga memfailkan saman terhadap seorang guru Kafa kerana melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan tulang tibia atau fibulanya patah dalam kejadian 6 Julai 2022 di sebuah sekolah di Marang.
Remaja itu yang ketika kejadian berusia sembilan tahun diwakili ibunya sebagai plaintif, memfailkan tuntutan berkenaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.