Sebelum tahun 2026 berakhir kita menyaksikan dan membaca kemarahan anak muda, anak sekolah dan kaum pelajar di Eropah. Kemarahan ini dimanifestasikan dengan demonstrasi jalan raya. Tunjuk perasaan ini semakin membara dan merebak.
Dua bulan terakhir 2026 kita melihat tunjuk perasaan di Perancis, di Albania, di Belgium, di Serbia, di Jerman, di Portugal dan di Sepanyol.
Media dan para ahli sosiologi memberi definisi majoriti yang turun ke jalan sebagai Generasi Z atau Gen Z. Mereka lahir antara 1997 dan 2012. Mereka ini warga asli digital. Mereka dilahirkan di zaman Internet telah lama wujud. Mereka bergelumang dalam media sosial.
Paling memeranjatkan Gen Z ini juga telah keluar berdemonstrasi, memecah kedai dan membakar kereta di kota Zurich dan kota Basel. Kota-kota ini terletak di Switzerland, negara terkaya di Eropah. Ini memeranjatkan dunia./file/attachments/889/Ferociousmatchstickeditorialillustration6Nov20261104pm1_784038.png)
Di Zurich kain rentang bertulis: Kami Dah Cukup.
We Had Enough - kami dah cukup – kami dah muak – kami dah bosan - adalah manifestasi kemarahan anak muda Eropah. Kain rentang di Zurich ini laungan kata-kata yang ditujukan kepada para politikus, elit politik dan elit ekonomi.
Di Perancis tunjuk perasaan bermula dari sekolah menengah kawasan miskin di pinggir kota Paris.
Murid di sekolah ini merasa tidak puas hati kerana kekurangan guru. Murid makin ramai. Kelas makin sempit. Musim sejuk tanpa alat pemanas. Musim panas tanpa alat pendingin. Sekolah makin daif. Bangunan sekolah wajib dibaiki.
Boikot kelas, tunjuk perasaan
Murid sekolah memboikot kelas dan menuntut pihak berwajib memperbaiki dan menerima tuntutan mereka.
Satu tuntutan yang rasional dan masuk akal. Malah sentimen ini juga dilafazkan oleh Gen Z di Belgium, di Jerman dan di Switzerland.
Jawapan dari pihak kuasa memeranjatkan. Anak sekolah diserang dengan gas pemedih mata. Ditembak dengan meriam air. Ditangkap dan dibelasah.
/file/attachments/889/Ferociousmatchstickeditorialillustration6Nov20261105pm_651142.png)
Boikot kelas dan tunjuk perasaan aman menjadi ganas. Sebuah bangunan Pejabat Majlis Daerah berumur 143 tahun di Limoges Barat Perancis telah dibakar.
Di sebalik kemarahan dan demonstrasi ini ada sebab musabab yang lebih besar. Inilah penyebab yang melahirkan manifestasi yang sedang memangkin politik jalan raya Gen Z.
Apa yang jelas kemarahan Gen Z di Eropah ini ditujukan kepada pemimpin politik. Bantahan ini semuanya di tujuan kepada kerajaan yang berkuasa.
Justeru kita menyaksikan emak, bapa dan guru turun berdemo. Persatuan Guru ikut berdemo. Kemudian kaum pekerja dan kesatuan sekerja ikut sama. Parti pembangkang datang mempertahankan para penunjuk perasaan.
/file/attachments/889/CanvaAIImageNov6202611_17_49PM_320793.png)
Bila ombak semakin membesar dan semakin mengampuh maka jelas ini bukan lagi isu bilik darjah atau isu kekurangan guru.
Gen Z ini telah membuka pintu untuk menilai kembali garis arah negara. Persoalan ini bukan lagi hanya untuk Perancis malah untuk masa depan Eropah dan masa depan dunia.
Ekonomilah. Bangang!
Dari kaca mata kaum Marxist semua yang berlaku sekarang ini adalah hasil dari sistem ekonomi kapitalis yang diguna pakai sekarang.
Dasar penswastaan, miskin tidur di pangkin
Satu ketika dulu parti komunis yang terbesar di Eropah di luar Soviet Union adalah di Perancis. Di Itali parti komunis begitu kuat sekali hingga terjalin kerjasama dengan Parti Kristian Demokrat untuk menjadi kerajaan.
Ketika era kaum kiri dan kaum pekerja berpengaruh kuat di dalam dan di luar kerajaan kelihatan dasar ekonomi di lakar untuk membantu kaum buruh dan kelas bawah.
Maknanya dasar kerajaan tidak menyebelahi kaum pemodal. Rakyat di dahulukan kaum kapitalis ikut kemudian.
Pembelajaran percuma untuk semua warga. Hospital kerajaan dibangunkan. Perumahan sosial di dirikan. Flet milik Majlis Bandaran muncul di sana-sini. Sistem pengangkutan dimiliki oleh daulah. Penjana kuasa elektrik dan gas milik kerajaan.
Jelas Eropah menjadi contoh negara dan kerajaan yang berperikemanusiaan. Keselamatan sosial warga terjamin dari lahir hingga ke liang lahad.
Dari mana datangnya dana untuk bajet negara? Dana datang dari cukai syarikat korporat dan syarikat kapitalis digunakan untuk kesejahteraan rakyat. Justeru pada tahun-tahun 70-90an Perancis dan Eropah aman damai.
Muncul Presiden Ronald Regan di Amerika Syarikat. Muncul Perdana Menteri Margaret Thatcher di United Kingdom (UK). Dasar ekonomi diubah. Dasar penswastaan menjadi induk ekonomi dalam negara. Luar negara muncul konsep ‘globalisasi’.
Margaret Thatcher pernah mengeluarkan kenyataan terkenal — "there is no such thing as society" - tidak ada perkara yang dipanggil masyarakat. Kata-kata pro kapitalis ini diutarakan dalam satu temu bual dengan majalah Woman’s Own pada bulan Oktober 1987.
Penswastaan maknanya semua harta negara dijualkan kepada kaum kapitalis. Kereta api dijual, Pejabat Pos dijual, syarikat air dijual, syarikat leterik dijual, flet milik Majlis Tempatan di jual – apa sahaja harta milik negara yang menguntungkan diswastakan.
/file/attachments/889/Ferociousmatchstickeditorialillustration6Nov20261107pm_597575.png)
Betul – bursa saham berkenduri melonjak naik. Yang kaya bertambah kaya. Sama seperti yang berlaku di Malaysia – di UK pink form saham menjadi rebutan dan perbualan nasional.
Dasar penswastaan ini merebak ke seluruh Eropah. Perancis, Belgium, Belanda, Itali, Portugal, Sepanyol mula menerima pakai dasar ekonomi ini.
Parti politik garis kiri makin lemah. Parti Komunis dan Sosialis tercabut dari tampuk kuasa. Garis kanan mendominasi politik Eropah.
Apabila Soviet Union runtuh 1989 – Rusia di bawah Presiden Yelstin (1991-1999) juga terikut sama menjualkan harta negara sehingga Presiden Putin mengambil alih tahun 2000.
Dasar ekonomi ini di kenali sebagai neoliberalisme. Ini merupakan satu falsafah ekonomi dan politik yang menumpukan kepada kapitalisme pasaran bebas, pengurangan campur tangan kerajaan, serta peralihan kawalan ekonomi daripada sektor awam kepada sektor swasta.
Cukai korporat di kurangkan. Cukai untuk orang kaya di kurang dan ada yang di mansuhkan semua sekali. Dana untuk perbelanjaan sosial untuk yang tak bekerja, bajet sekolah, hospital dan perumahan awam mula di kurangkan.
Kini pasaran disantuni - rakyat ramai ditolak ke tepi.
Hasil daripada dasar ekonomi liberal inilah yang menjemput anak muda Gen Z turun ke jalan raya. Mereka merasa tidak ada masa depan untuk mereka.
Siapa berduit tidak perlu menjerit. Siapa yang miskin tidur di pangkin.
Tidak cukup dengan dasar neo-liberal - ekonomi bebas lahir pula dasar klasik Eropah: Dari Zaman Napoleon lagi telah di wujudkan dasar kebencian terhadap Rusia.
Rusia wajib dipecahkan. Tanah besar Rusia dari Asia hingga ke Eropah terlalu luas – ini mengancam Eropah.
Hasil daripada dasar anti-Rusia ini telah menjemput Perang Ukraine. Kini telah memasuki tahun ke empat dan belum di lihat jalan penyelesaian.
Secara bangang lagi bodoh Jerman – penjana ekonomi utama Eropah memberhentikan membeli minyak dan gas murah dari Rusia. Kini ekonomi Jerman makin meleset.
/file/attachments/889/Ferociousmatchstickeditorialillustration6Nov20261111pm_469183.png)
Bayangkan kilang kereta Volkswagen yang terkenal itu telah ditutup. Kini menjadi kilang membuat senjata.
Ekonomi Jerman merudum. Ini membawa pengaruh ke atas ekonomi negara Eropah yang lain.
Perang Ukraine ini telah memaksa semua negara Eropah menaikkan belanja pertahanan. Semua anggota Nato hari ini telah diarah untuk menambah dana persenjataan dari 3 peratus ke 5 peratus daripada bajet negara. Maka dana untuk sekolah, untuk hospital – untuk kebajikan awam – dipotong.
Perang Ukraine belum tamat. Satu lagi medan perang dibuka. Bila Iran diserang hasilnya Selat Hormuz ditutup. Harga minyak dan gas meledak naik. Dampaknya di rasakan di Eropah dan di seluruh dunia.
Justeru tidak menghairankan apabila ada bendera Palestin berkibar dalam demo Gen Z ini. Ini tanda sentimen anti genosid dan anti-Zionis sedang mengampuh di dalam fikrah anak muda Eropah hari ini.
/file/attachments/889/CanvaAIImageNov6202611_06_29PM_269737.png)
Semua ikat berikat, kait mengait. Genosid di Gaza, Perang di Ukraine dan di Iran - semua memangkin perasaan anak muda di Eropah.
Gen Z melihat elit politik dan elit ekonomi ini sebagai musuh yang wajib dihumbankan. Mereka merasa masa depan mereka tidak boleh diurus dengan baik oleh pemimpin politik hari ini.
Fakta ekonomi inilah yang sebenarnya telah memaksa Gen Z untuk keluar ke jalan raya.
Di Perancis kita sedang melihat anak muda bertempur dengan polis di jalan raya. Pada masa yang sama dua garis politik juga sedang bertempur.
Pertempuran garis politik ini sedang menganjurkan dasar ekonomi.
Parti kiri: Parti Komunis dan Parti Sosialis mengajukan rombakan ekonomi kapitalis dan menerima pakai sistem ekonomi sosialis.
Sementara itu, garis kanan Parti National Rally menganjurkan penerusan ekonomi kapitalis. Malah membebaskan lagi pasaran daripada kuasa daulah.
Ketika ini, Parti Renaissance – garis tengah dipimpin oleh Presiden Macron sedang berkuasa.
Semua ini akan ditentukan pada 18 April 2027 apabila Perancis akan mengadakan pemilihan presiden. Keputusan siapa menang bergantung dengan apa seterusnya akan berlaku di jalan raya.
Apakah Perang Ukraine akan tamat? Apakah Selat Hormuz akan dibuka? Atau kemungkinan satu pentas perang baru akan terbuka. Lima bulan satu jangka masa yang panjang di dalam politik. Amin. - Mkini
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MMKtT




No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.