`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Friday, April 28, 2017

SEBABNYA SPLASH DIBAYAR RM2.8 BILLION DAN BUKAN RM250 JUTA

DEMI SELANGOR
Rakyat Selangor
Mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim acapkali mengakui bahawa beliau tidak pandai berpolitik. Malah di dalam beberapa siri ceramahnya beliau menegaskan beliau akan mentadbir dengan telus bersih dan beramanah kerana beliau yakin politik akan datang menyusul apabila beliau berjaya mengotakan janji-janjinya kepada rakyat Selangor. Maka tidak hairanlah apabila beliau terbukti gagal membina satu pasukan politik yang kuat di dalam PKR walaupun menyandang jawatan Menteri Besar lebih daripada enam (6) tahun.
Berpaksikan kepada pentadbiran cemerlang Khalid, beliau tidak mempunyai masalah besar di dalam menepis serangan UMNO dan UMNO juga tidak begitu ghairah menyerang pentadbiran Khalid kerana UMNO sedar dengan kedudukan Khalid sebagai MB beliau pastinya sangat maklum dengan rekod buruk pentadbiran sebelumnya. Walau bagaimanapun dengan ceteknya ilmu politik ( ilmu politik putar belit PKR ) Khalid tidak dapat menubuhkan satu pasukan politik yang boleh menyokong beliau dalam apa keadaan bagi menepis serangan dari dalam parti. Selain pasukan yang digaji oleh pejabat Menteri Besar, tidak seorang pun di pucuk pemimpin PKR yang mahu menyokongnya. Mengapa? Jawapannya mudah. Pemimpin PKR hanya akan menyokong Khalid jika mendapat “timbal balik” sebagai habuan sokongan yang diberikan.
Berbeza dengan Menteri Besar sekarang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang sangat mahir dengan permainan “timbal balik” dalam politik yang mana beliau pelajari dengan cemerlang selama 17 tahun ketika menjadi setiausaha sulit kepada Dato Seri Anwar Ibrahim. Bermula dari Timbalan Menteri hinggalah kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.  Lihat sahaja betapa selesanya kehidupan kartel Azmin sekarang sehingga ada yang tidak boleh menyorokkan kekayaan mereka sehingga dicekup Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.
Hakikatnya laungan seperti “Demi Rakyat”, “Reformasi” dan “Lawan Tetap Lawan” hanyalah omong kosong untuk memancing simpati dan undi rakyat. Apabila PKR melalui gagasan Pakatan Rakyat memenangi Negeri Selangor pada 2008, ramai memikirkan untuk mendapat pelbagai kontrak bina jalan, kutip sampah, potong rumput, menyandang jawatan tinggi di anak syarikat negeri dan banyak lagi telah terbuka. Paling tidak, mereka mahu menjadi “orang tengah” kepada syarikat swasta untuk mendapat kontrak kerajaan.
Walau bagaimanapun amat malang bagi mereka, Khalid benar-benar serius dengan laungan reformasi yang dilontarkan selama ini. Ketegasan beliau dalam menjaga dana dan harta Negeri Selangor telah membuatkan kebanyakan yang berkepentingan tidak suka padanya. Bukan sahaja orang politik, malah ahli korporat yang rapat dengan parti dan istana juga tidak mendapat peluang langsung “membuat duit”.
Sikap degil Khalid ini mungkin kena pada tempatnya. Kita masih ingat lagi bagaimana Selangor dikejutkan dengan penangkapan Pegawai Tugas-Tugas Khas Khalid, Sdr Yahya Saari pada 2008; seawal 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor kerana salahguna kuasa dan memalsukan dokumen. Pada ketika itu terasa bagaikan nak runtuh langit UMNO bersorak, mencebik dan mengejek. Khalid benar-benar terkesan dengan peristiwa tersebut dan berazam tidak akan lagi mengendahkan tohmahan ahli mahupun pimpinan parti yang merengek mahukan projek dan laba politik. 
Sikap tegas Khalid ini telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat telah memberikan pentadbiran yang bersih dan telus sehingga Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Umum 2013 berbanding 2008. Namun atas sikap ini jugalah mengapa Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta kuncu-kuncunya “bersilat” untuk mengelak dari memberi mandat kepada Khalid untuk terus menjadi Menteri Besar. Malah dari maklumat dalaman PKR, Anwar sengaja meletakkan Khalid bertukar kawasan bertanding pada saat-saat akhir dari DUN Ijok ke DUN Pelabuhan Klang, dengan harapan Khalid tewas di kerusi DUN dan tidak boleh menjadi MB. Anwar terlupa Khalid adalah MB Selangor dan kecemerlangan beliau bukan sahaja di Ijok tetapi di seluruh negeri. Khalid menang di DUN Port Klang meskipun hanya dimaklumkan dua minggu sebelum pembubaran Dewan.
Pada pandangan rakan tahaluf ketika itu; PAS dan DAP, Khalid adalah seorang pemimpin yang kuat bekerja, jujur dan amanah. Justeru, PAS dan DAP berkeras mahu Khalid meneruskan pentadbirannya di Selangor. Anwar terpaksa mengalah namun persetujuan Anwar penuh dengan syarat-syarat sukar yang perlu Khalid tunaikan. Keputusan Anwar itu juga telah menyebabkan berlakunya pergaduhan besar di antara beliau dengan Azmin hinggakan Azmin mengherdik Anwar dan menggelarnya sebagai munafiq.
Apabila kita sebut syarat-syarat sukar maknanya ia bukan sekadar memberi kepentingan kepada parti semata-mata tetapi sehinggakan memberi kesan buruk kepada rakyat Selangor. Pastinya Khalid tidak akan menurut kehendak Anwar jika ia mengambil kepentingan rakyat Selangor. Tekanan bertali arus dikenakan ke atas pentadbiran Khalid namun berjaya ditangani dengan baik oleh Khalid. Maka tidak hairanlah dalam diam Anwar telah mengarahkan anak-anak buahnya Rafizi Ramli Saifuddin NasutionZuraidah Lateefa Koya serta beberapa orang lagi untuk memulakan satu konspirasi menyingkirkan Khalid yang dikenali sebagai “Langkah Kajang”. Konspirasi ini berada di kemuncak apabila Khalid berjaya mencapai kata sepakat dengan Kerajaan Persekutuan berkenaan penstrukturan industri air pada Februari 2014.
Pada sekitar 2013 pemegang saham terbesar syarikat air SPLASH iaitu Tan Sri Wan Azmi telah mengadu kepada Anwar bahawa tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih syarikat tersebut adalah terlalu rendah. Khalid hanya menawarkan RM250.6 juta sedangkan Wan Azmi mendakwa nilai sebenar syarikatnya adalah RM2.8 billion. Anwar telah berjanji untuk memujuk Khalid agar bersetuju dengan tuntutan Wan Azmi. Desas-desus dalaman parti mendakwa Wan Azmi telah berjanji untuk membuat “pelaburan” sebanyak RM100 juta kepada PKR melalui Institut Rakyat, badan pemikir (think tank) PKR, jika Khalid berjaya dipujuk.
Maka berderetlah siri percubaan oleh pemimpin parti terutama mereka yang selama ini menerima bantuan dana dari Wan Azmi termasuk Nurul IzzahNik Nazmi dan Rafizi memujuk Khalid untuk menerima nilai yang diminta. Pegawai-pegawai Khalid juga didatangi beberapa individu meminta untuk mengaturkan perbincangan antara Khalid dan Wan Azmi. Malah Anwar pernah membawa Wan Azmi secara mengejut ke pejabat MB dan ke rumah Khalid untuk berbincang dan berkompromi.
Namun semua usaha gagal kerana Khalid hanya akan berkompromi jika ianya tidak merugikan rakyat Selangor. Anwar dikatakan mengamuk apabila media melaporkan bahawa Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat telah menandatangani MOU untuk menyelesaikankan penstrukturan industri air yang antara lain mengesahkan nilai pembelian SPLASH adalah RM250.6juta. Tanpa lengah Anwar terus mengarahkan hulubalang-hulubang songsangnya untuk meningkatkan usaha agar Khalid disingkir terus dari pejabat MB.
Apa yang terjadi selepas itu sudah diketahui ramai dimana Khalid dipecat oleh PKR berdasarkan pembohongan yang dicatat dalam sebuah buku dalil setebal 91 mukasurat yang kemudiannya diakui oleh PKR dan Saifuddin sebagai fitnah dan tidak berasas. Rakyat juga tahu bagaimana akhirnya bukan Anwar atau isteri beliau Wan Azizah tetapi Azmin Ali yang menjadi MB. Rakyat juga tahu betapa malunya Anwar ketika itu namun apabila seseorang itu telah memilih untuk menjadi pemain politik, apatah lagi “political animal” seperti mereka, malu dan muka tebal tidak pernah dijadikan rujukan ketika bertindak.
Khalid masih kekal dengan pendirian dan kedegilannya. Walaupun tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar, Khalid tekad untuk memastikan proses penstrukturan serta pengambilalihan syarikat air tidak melebihi nilai yang ditetapkan. Apatah lagi beliau amat pasti penggantinya Dato’ Seri Mohamed Azmin Aliakan mencari jalan untuk meningkatkan nilai untuk SPLASH. Itulah lubuk dedak yang pasti tidak akan dibiarkan berlalu oleh Azmin.
Justeru, Khalid meminta bantuan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar menasihatkan EXCO PAS di dalam kerajaan Negeri Selangor iaitu Dato’ Iskandar Samad, Dato’ Dr Yunus Ahmad dan Tuan Zaidy Abdul Talib untuk memastikan hak rakyat Selangor terpelihara dalam isu air.  Tambahan pula industri air adalah di bawah portfolio “Insfratsruktur dan Kemudahan Awam” yang dipegang oleh Zaidy.
Hadi secara prinsip bersetuju dengan Khalid dan bersetuju untuk mengaturkan pertemuan antara Khalid dan pemimpin pusat PAS termasuk ketiga-tiga EXCO Selangor. Azmin dapat “menghidu” tindakan Khalid dan terus bertindak. Hasilnya, Azmin berjaya mendapat sokongan kuat daripada PAS Selangor melalui Iskandar dan Zaidy untuk menyokong pembelian SPLASH pada harga RM2.8billion. Bukan setakat itu sahaja, Zaidy jugalah yang bertanggungjawab menyediakan kertas EXCO bagi mencadangkan agar SPLASH dibayar dengan harga RM2.8 billion dan bukan RM250.6juta.
Sehingga sekarang Iskandar dan Zaidy serta Ahmad Yunus tidak mengendahkan arahan Hadi untuk bertemu Khalid kerana mereka tahu Presiden PAS itu tidak akan bertindak keras memandangkan parti tersebut masih melalui proses penyatuan akibat penubuhan Parti Amanah Negara (PAN).
Kedua mereka memberi bermacam dalih untuk menyokong pembelian SPLASH pada harga RM2.8billion apabila bersama rakan parti tetapi tidak berani bersemuka dengan Khalid secara berhadapan bersama pemimpin PAS yang lain kerana tahu mereka tidak akan dapat mematahkan hujah Khalid.
Apabila Pemuda PAS Selangor menyuarakan protes pembayaran SPLASH, Zaidy dikatakan telah memujuk mereka dengan mengatakan bahawa PAS Selangor tidak akan menghadapi masalah dana pada pilihanraya akan datang kerana sejumlah wang yang besar sedang diurus oleh beliau dan Azmin jika pembayaran yang dijanjikan kepada SPLASH berjalan lancar.
Nah!!! Nampak betapa efektifnya politik timbal balik atau terma moden hari ini “politik dedak” yang diamalkan di Selangor sehingga Iskandar dan Zaidy “bermatian” mempertahankan “status quo” kerajaan negeri di bawah kuasa Azmin.
Maka, tidak hairanlah mengapa Iskandar kerap mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Presiden PAS tentang isu tahaluf siyasi bersama PKR.  Juga tidak hairan Iskandar turut mengancam yang PAS Selangor akan hilang 5,000 pelbagai jawatan; ahli majlis, ketua kampong dan imam masjid jika Muktamar PAS di Kedah hujung minggu ini membuat resolusi memutuskan hubungan dengan PKR. Namun, kita perlu sedar tindakan beliau itu bukanlah dibuat demi Selangor mahupun parti. Ianya semata-mata bagi memastikan periuk nasinya tidak terjejas. Sungguh malang nasib PAS, sama malang dengan rakyat Selangor.

1 comment:

  1. Ondeh Ondeh...Siber troopers ...(to discreetly analysed)

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.