`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, August 31, 2019

Mekanik buta ‘merdeka’ daripada bantuan, bebankan orang lain

Azhar Ibrahim bersyukur mampu berdikari tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain.
PETALING JAYA: Hilang penglihatan sejak lahir dan tidak berpeluang mendapat pendidikan bukan penghalang bagi seorang pemuda dari Batu Gajah, Perak untuk menggapai impian menjadi mekanik motosikal serta membebaskan dirinya daripada persepsi negatif masyarakat terhadap orang kelainan upaya.
Walaupun mustahil untuk orang buta, namun berkat kesungguhan dan keazamannya, Azhar Ibrahim, 36, kini merupakan mekanik yang dihormati dan dipercayai penduduk sekitar.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Azhar menguasai kemahiran membaiki motosikal dengan bantuan rakan karibnya.
“Pada asalnya kawan-kawan yang ajar, saya tidak pernah belajar di mana-mana institut (kemahiran). Pada peringkat permulaan, saya belajar cara ‘overhaul’ enjin motosikal Honda EX5.
“Saya buka enjin dan apabila hendak pasang, saya akan panggil kawan-kawan. Dua enjin motosikal Honda EX5 ketika itu saya ‘overhaul’.
“Kawan-kawan kongsikan motosikal dan alatan mereka dengan saya. Kalau hendak harapkan bantuan orang luar, siapa yang hendak berikan motosikal mereka kepada saya untuk baik pulih?
Bengkel Motosikal Azhar ditubuhkan 7 tahun lalu.
“Memandangkan saya ini tidak nampak, jadi kawan-kawanlah yang korbankan motosikal mereka,” katanya kepada FMT.
Tanpa berselindung, Azhar mengakui ibu bapanya resah dengan minatnya itu.
“Emak saya risau, dia tidak benarkan saya baik pulih motosikal kerana bimbang motosikal itu akan jadi lebih teruk. Bahkan saya juga bukannya datang dari keluarga yang hidup senang, namun saya beritahu emak untuk yakin dengan saya dan berdoa.”
Seperti usahawan Bumiputera lain, Azhar turut menghadapi masalah dari segi modal perniagaan apabila memulakan bengkel motosikal di depan rumahnya 7 tahun lalu.
Beliau kemudiannya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa pihak lain dari segi peralatan.
“Pada awalnya, saya hanya ambil upah untuk pasang saja. Pelanggan akan bawa barang yang mereka beli dan saya akan pasang. Ada barang barulah saya akan pasang. Namun, itu hanyalah pada awal saja. Sekarang ini, kalau hendak ‘overhaul’ itu perkara biasa.
Azhar Ibrahim menyusun rapi peralatannya selepas digunakan.
“Walaupun mendapat perhatian (JKM), saya tetap katakan masih banyak yang perlu saya pelajari sebabnya jika kata saya pandai baik pulih motosikal, sampai bila-bila pun saya tetap tidak akan pandai.
“Saya kata macam itu kerana apabila keluar motosikal jenama dan model baru, saya tetap kena belajar perkara baru lagi.”
Kredibiliti mekanik buta
Azhar berkata, mekanik biasanya mengenal pasti masalah atau kerosakan pada kenderaan berdasarkan daya penglihatan, tetapi beliau menggunakan deria pendengaran untuk berbuat demikian.
“Saya bukan jenis orang apabila enjin rosak, buka enjin dan pasang semula. Saya akan pastikan enjin sesebuah motosikal itu bersih selepas dibaik pulih. Memanglah saya tidak nampak, tetapi saya boleh rasa sama ada ia masih berminyak atau tidak.”
Berbeza dengan bengkel lain, Azhar akan memastikan setiap peralatannya disusun rapi selepas digunakan dan cara beliau membaiki motosikal tidak menunjukkan beliau menghadapi masalah penglihatan.
Motosikal 4 lejang merupakan kegemaran Azhar Ibrahim untuk dibaiki kerana ia mempunyai ruang lebih luas dan mudah dibuka.
Erti kemerdekaan
Hari ini genap 62 tahun negara merdeka daripada pemerintahan penjajah, tetapi erti kemerdekaan buat Azhar ialah bebas melakukan apa saja tanpa bantuan orang lain dan beliau sangat bimbang dirinya menjadi beban kepada orang sekeliling.
“Bagi saya, dalam kehidupan saya yang macam ini, saya tidak menyusahkan orang. Hal-hal kewangan ini saya boleh cari sendiri, tidak menyusahkan emak dan ayah atau adik-beradik saya. Selagi tulang 4 kerat ini boleh bergerak, insya Allah saya tidak akan menyusahkan sesiapa.”
Katanya, mekanik motosikal bukan pekerjaan pertamanya kerana beliau pernah bekerja sebagai tukang urut.
“Upah tukang urut ini sering dikaitkan dengan seikhlas hati. Ada pelanggan yang datang berurut berbadan besar, untuk mengurutnya pula bukan senang dan memakan masa 1 hingga 2 jam.
Azhar Ibrahim seolah-olah hilang semangat bekerja jika tanpa kopi susu kegemarannya.
“Namun, upahnya kadangkala ada yang bagi dan ada yang tidak bagi upah. Pendapatannya sikit sangat.”
Graduan sihat tubuh mengeluh
Azhar hairan dengan sesetengah graduan yang mengeluh gagal mendapat pekerjaan diingini, sedangkan dirinya langsung tidak berpeluang mendapat pendidikan kerana sekolah terdekat dengan rumahnya terletak di Teluk Intan, kira-kira 50km dari Batu Gajah.
“Tetapi saya tidak menyesal, mungkin saya sudah ditakdirkan begini. Kita tidak sekolah pun tetap ada rezeki kerana Allah sudah janjikan, tetapi kalau pergi ke sekolah lagi bagus. Macam saya, walaupun tidak ada sebarang sijil, saya tetap berusaha.
Setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri dan Azhar Ibrahim berusaha meningkatkan kemahirannya membaiki motosikal sejajar perkembangan teknologi semasa.
“Takkanlah apabila ada graduan yang tidak dapat pekerjaan, mereka terus rasa kecewa? Pada saya, mereka kena terus berusaha.
“Kalaulah saya hanya duduk berdoa dan menadah tangan, saya percaya tidak ada daun pun yang akan jatuh ke tangan saya, apatah lagi duit, disebabkan itu perlu berusaha.”
Katanya, rezeki tidak akan datang bergolek dan setiap pekerjaan mempunyai cabaran serta halangan tersendiri.
“Kita hendak mati pun susah, inikan pula hendak kerja dan mencari duit. Orang yang ada sijil pelajaran kita nampak seoalah-olah pekerjaannya senang, tetapi dia bekerja dengan berfikir. Saya pula bekerja dengan kudrat, tidak ada yang senang. Cumanya mahu atau tidak saja.
“Walaupun tuhan tidak berikan penglihatan kepada saya, tetapi kaki dan tangan saya masih bergerak. Inikan pula orang yang sihat tubuh badan, boleh bergerak ke sana sini, tidakkah mereka rasa rugi jika terus mengeluh?”
Bagi Azhar, menjadi tanggungjawab setiap anak yang sudah dewasa untuk berdikari dan menjaga ibu bapa mereka.
“Sepatutnya, apabila kita sudah besar, kita yang membantu dan bertanggungjawab ke atas ibu bapa. Jadi, kalau kita malas, siapa yang hendak bagi kita duit untuk kita pula membantu keluarga?” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.