`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 30, 2019

Peguam Berbeza Pendapat Berhubung Keputusan Mahkamah Ke Atas SIS

(FMT) – Peguam berbeza pendapat berhubung dakwaan bahawa keputusan terbaru mahkamah menolak bantahan Sisters in Islam (SIS) terhadap fatwa ke atas kumpulan aktivis hak wanita Islam itu bakal mempunyai kesan luas dari segi liputan undang-undang Islam.
Ketika menolak bantahan SIS terhadap fatwa yang melabelkannya sebagai sesat daripada ajaran Islam, Mahkamah Tinggi tidak bersetuju dengan hujah kumpulan itu bahawa pihak berkuasa agama negeri tidak mempunyai bidang kuasa ke atasnya kerana ia didaftarkan sebagai sebuah syarikat.
“Syarikat dan pengarah Forum SIS beragama Islam dan kegiatan mereka berkait dengan undang-undang Islam. Fatwa itu adalah terpakai,” kata hakim Mahkamah Tinggi Nordin Hassan.
Dalam respons balasnya, aktivis Marina Mahathir mengkritik penghakiman itu sebagai “pintu belakang pensyariahan” undang-undang Malaysia.
Beliau juga berkata, penghakiman itu bermakna mana-mana syarikat yang mempunyai orang Islam di dalamnya, termasuk pengarah, pemegang saham dan kakitangan, boleh tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang syariah.
Bagaimanapun peguam dan aktivis hak asasi Kuthubul Zaman Bukhari berkata, keputusan mahkamah itu hanya melibatkan SIS.
“Saya berpendapat, ia tidak memberi kesan ke atas pengarah beragama Islam dalam syarikat lain,” kata bekas presiden Majlis Peguam itu, yang turut mempengerusikn jawatankuasa syariah badan itu.
Namun begitu katanya, orang Islam yang menjalankan kegiatan sama seperti SIS mungkin terkesan oleh keputusan itu.
Peguam Lim Wei Jiet berkata, penghakiman itu seolah-olah memberikan kepada pihak berkuasa Islam kuasa ke atas peraturan syarikat yang tertakluk kepada undang-undang bukan syariah.
Idea bahawa satu entiti korporat, yang bukan manusia, boleh tertakluk kepada undang-undang Islam dan difatwakan sebagai “sesat” boleh mengundang banyak implikasi negatif,” katanya kepada FMT.
“Ini berlawanan dengan ciri sekular negara ini, dengan Islam hanya berfungsi dalam lingkungan peribadi.”
Lim juga mempersoalkan bagaimanakah sesebuah syarikat dianggap “cukup Islam” untuk diletakkan di bawah bidang kuasa undang-undang Islam.
Beliau bertanya apakah yang akan berlakunya sekiranya seorang bukan Islam memegang saham bagi pihak pemegang saham beragama Islam.
“Kemungkinannya tidak terbatas, dan kotak Pandora ini tidak sepatutnya dibuka sama sekali.”
Kuthubul Zaman bersetuju bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi itu bertentangan dengan hak kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan.
“Syarikat dikawal selia di bawah Akta Syarikat. Fatwa tidak boleh mengatasi akta Parlimen atau perlembagaan, yang merupakan undang-undang tertinggi negara.”
Peguam syariah Nizam Bashir berkata, adalah terlalu awal untuk membuat rumusan mengenai keputusan itu.
Beliau berkata, keputusan itu hanya membawa makna semakan kehakiman yang difailkan oleh SIS terhadap fatwa tersebut tidak berjaya.
“Dari segi undang-undang, walaupun syarikat tidak boleh “memeluk” agama Islam, ia juga tidak boleh berpegang kepada kepercayaan liberal atau apa-apa juga kepercayaan lain,” kata Nizam kepada FMT.
Beliau berkata, tidak ada atau hampir tidak asas dari segi undang-undang untuk berhujah bahawa pihak berkuasa agama negeri boleh bertindak ke atas sebuah syarikat, pegawai dan kakitangannya atau pemegang saham atau pengarah jika mereka beragama Islam.
Nizam berkata, keputusan itu mungkin mempunyai kesan tidak langsung ke atas dasar pekerjaan korporat yang melibatkan kakitangan atau pengarah beragama Islam, selain keputusan korporat sekiranya satu pihak beragama Islam.
“Sarana korporat mungkin perlu patuh syariah,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tidak ada pihak yang membayangkan bahawa pihak berkuasa syariah tidak boleh menggunakan kuasanya untuk mengeluarkan fatwa, namun soalan yang perlu dijawab ialah sama ada fatwa yang dibuat perlu berada dalam lingkungan perlembagaan dan perundangan.
“Inilah isu berbangkit yang dibawa oleh SIS berhubung fatwa Selangor 2014 itu.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.