`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 7, 2022

Kamu bertanggungjawab ke atas SPRM, jangan diam diri isu Azam, Gobind beritahu PM

 

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyeru Ismail Sabri Yaakob menyatakan pendirian dan mengembalikan keyakinan terhadap SPRM.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo meminta Perdana Menteri menjawab dan menyatakan pendirian berhubung isu pemilikan kepentingan dan saham dalam beberapa syarikat dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Gobind berkata, Ismail Sabri Yaakob tidak boleh berdiam diri susulan beberapa pendedahan serta isu dibangkitkan beberapa pihak terutama Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa bulan lalu.

Beliau berkata, sebagai individu bertanggungjawab ke atas SPRM, Ismail perlu menyatakan adakah beliau sedar siasatan dijalankan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengenai beberapa perkara terhadap Azam.

“Adakah LPPR mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan itu dan sekiranya ada, bawah peruntukan undang-undang manakah mereka bertindak dan bagaimanakah siasatan itu dijalankan.

“Adakah LPPR juga mendapatkan nasihat daripada mana-mana badan berkecuali dan bebas seperti Jabatan Peguam Negara dalam menjalankan dan menangani siasatan dan sekiranya tidak, kenapa?” soal Gobind.

Memandangkan penjelasan diberikan ada melibatkan akaun tertentu, Gobind mempersoalkan adakah pandangan Suruhanjaya Sekuriti (SSM) diperoleh sebelum keputusan dibuat dalam perkara itu.

Katanya, memandangkan Azam juga Ketua Pesuruhjaya SPRM, adalah lebih baik siasatan dijalankan pihak berkecuali atau bebas memandangkan LPPR juga adalah sebahagian daripada SPRM.

“Perdana Menteri tidak boleh kekal berdiam diri dalam isu ini. Sudah terang lagi bersuluh bahawa isu ini sedang hangat diperdebatkan oleh orang awam ketika ini.

“Perkara ini kelihatan tidak baik bagi pihak SPRM khususnya apabila SSM meminta butiran siasatan sejurus pihak lembaga mengumumkan hasil siasatan kes ini,” katanya.

Gobind menyeru Perdana Menteri menyatakan pendirian dan mengembalikan keyakinan terhadap SPRM.

“Beliau (Perdana Menteri) harus menunjukkan kesungguhannya dalam mempertahankan integriti SPRM dengan bersuara berkenaan perkara ini.

“LPPR telah pun meminta untuk dan berpuas hati dengan penjelasan diberikan Azam. Selepas itu, SSM mengeluarkan kenyataan mereka akan menghubungi Azam untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan perkara ini berdasarkan peruntukan tertentu dalam Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA),” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.