`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 6, 2022

Kerana ubat nyamuk, duda parah dipukul anak saudara

 

Mangsa parah selepas dipukul anak saudaranya menggunakan kayu.

PETALING JAYA: Seorang duda parah dipukul anak saudaranya menggunakan kayu selepas suspek berang ditegur kerana mengambil ubat nyamuk tanpa kebenaran, dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian 11.30 malam Isnin lalu, mangsa berusia 55 tahun sempat berlari ke rumah adiknya terletak berhampiran dalam keadaan berlumuran darah untuk memaklumkan kejadian menimpanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Suhaimi Ali, berkata mangsa yang juga duda tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun datang ke rumah mangsa sebelum mengambil sekotak ubat nyamuk tanpa kebenaran.

“Mangsa menegur suspek yang didakwa sering mengambil barangnya tanpa keizinan menyebabkan suspek berang dan terus memukul mangsa di kepala menggunakan sebatang kayu, sebelum melarikan diri.

“Mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terus menuju ke rumah adiknya memaklumkan dia dipukul oleh anak saudaranya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di tepi sungai di kampung yang sama pada 8.45 pagi tadi.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.