`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 6, 2022

Kerugian lebih RM500 juta akibat Macau Scam direkod tahun lalu

 

Sindiket yang dikenal pasti turut membabitkan rangkaian di luar negara yang menyukarkan tindakan pembanterasan dilaksanakan secara menyeluruh, kata Pengarah JSJK Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din.

PETALING JAYA: Kes penipuan Macau Scam tahun lalu merekodkan kerugian bernilai RM580.88 juta membabitkan 1,585 kes sepanjang tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan, seramai 9,646 individu ditahan sepanjang tahun lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan itu.

“Penipuan secara panggilan telefon atau Macau Scam bukan sesuatu yang baharu dan polis sentiasa komited untuk membendung kegiatan itu melalui siasatan dan operasi berterusan.

“Namun sindiket yang dikenal pasti turut membabitkan rangkaian di luar negara yang menyukarkan tindakan pembanterasan dilaksanakan secara menyeluruh. Justeru, kita minta masyarakat lebih berwaspada,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Kamarudin berkata, pemantuan polis mendapati sindiket Macau Scam kerap menukar modus operandi untuk memancing dan memperdaya mangsa.

Dalam pada itu, katanya masyarakat diminta berwaspada sekiranya menerima panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang mahu menyalurkan insentif atau bantuan diberikan kerajaan.

Perkara ini susulan pihaknya mengesan wujud dua modus operandi terbaru digunakan sindiket penipuan Macau Scam untuk memperdayakan mangsa termasuk atas nama ‘bantuan kerajaan’.

“Mangsa akan dihubungi menerusi panggilan telefon dan sekiranya mahu menerima bantuan itu, mangsa diminta menyerahkan ID (Pengenalan Pengguna) dan kata laluan perbankan dalam talian.

“Ia kononnya untuk memudahkan proses pembayaran bantuan, namun selepas ID dan kata laluan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaun simpanan mereka lesap atau berkurangan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan atau memerlukan nasihat berkaitan jenayah komersial supaya berhubung dengan pihak polis melalui CCID Scam Response Center di talian 03-2610559/1599. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.