`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 6, 2022

Sindiket pelaburan forex tumpas, dalang ‘Datuk’ antara 10 ditahan

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din (kiri) menunjukkan jonhgkong emas seberat 5kg yang merupakan antara barang rampasan berjumlah hampir RM127 juta. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan 10 individu, termasuk seorang suspek bergelar “Datuk”, yang disyaki terlibat dalam skim penipuan pelaburan forex di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata suspek yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 64 tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barang, antaranya sembilan kenderaan mewah, 64 jam tangan dan lima jongkong emas seberat 5kg, dianggarkan bernilai hampir RM127 juta.

“Sindiket ini dikenali sebagai Pelaburan Forex GCG Asia dan aktif sejak 2018 dan kesemua suspek berperanan sebagai broker, ejen pencari pelabur, pengurus kewangan dan pemilik akaun.

“Sindiket ini menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa dan mereka mempromosikan pelaburan berasaskan forex dengan kadar pulangan secara mingguan antara 12% hingga 14% daripada jumlah modal yang dilaburkan,” katanya menurut laporan Bernama.

Kamarudin berkat, sindiket berkenaan memberitahu pelabur bahawa wang pelaburan akan dilaburkan syarikat GCG Asia dalam pelbagai medium untuk menjana keuntungan besar.

Menurutnya, pelabur diberi pautan laman sesawang pelaburan bersama kata laluan dan akan dapat melihat jumlah keuntungan diterima, namun keuntungan tersebut tidak dapat dipindah atau ditunaikan.

“Sindiket ini kemudian akan memutuskan hubungan komunikasi dengan pelabur setelah mendapat jumlah pelaburan besar dan memberhentikan operasi skim pelaburan berkenaan secara tiba-tiba. Pelabur yang tidak berpuas hati akan merasa diperdaya kerana tidak mendapat pulangan keuntungan yang dijanjikan.”

Menurutnya, sehingga kini, 23 kes sedang disiasat berkaitan penipuan Pelaburan Forex GCG Asia melibatkan kerugian berjumlah RM2.9 juta.

Beliau berkata, sembilan suspek direman sehingga hari ini, manakala seorang lagi direman semalam dan permohonan melanjutkan reman mereka sedang dilakukan.

Empat daripada suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah dalam kes penipuan.

Kamarudin berkata, hasil siasatan setakat ini, tiada sebarang orang kenamaan (VIP) terlibat dengan sindiket ini.

“Dalang berusia 40 tahun bergelar ‘Datuk’ yang menamakan dirinya sebagai ‘Datuk Seri’ dalam modus operandi mereka. Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan ijazah sarjana dalam bidang ‘Business Administration’ (Pentadbiran Perniagaan).”

Beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya iklan promosi pelaburan di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, WeChat dan sebagainya.

Katanya, orang awam perlu membuat semakan terhadap status skim pelaburan dan syarikat menawarkan pelaburan tersebut sama ada dilesenkan Bank Negara Malaysia atau tidak dalam menjalankan aktiviti pelaburan.

“Membuat pengesahan akaun, dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak, sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.

“Sila laporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai apa-apa maklumat berkenaan sindiket penipuan yang terdapat di media sosial,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.