PARIT BUNTAR: Berbaki beberapa jam saja lagi sebelum tempoh berkempen tamat tepat 12 tengah malam ini, parti bertanding terus menggandakan usaha memancing undi atas pagar khususnya dalam kalangan anak muda 18 hingga 24 tahun.
Walaupun sepanjang tempoh berkempen, Perikatan Nasional (PN) dilihat mendahului gerak kerja di lapangan Perak utara, Barisan Nasional (BN) yang boleh dianggap seteru utama gabungan itu, tidak mahu mengangkat “bendera putih” terlalu awal malah yakin masih ada ruang untuk mereka “meminang” undi belia. Begitu juga Pakatan Harapan (PH).
Setiap parti berusaha mencipta keunikan kempen di saat akhir bagi memastikan lambang parti mereka benar-benar terpahat di hati anak muda untuk dipangkah pada esok hari.
Tinjauan FMT di beberapa lokasi sekitar Parit Buntar dan Bagan Serai mendapati, PN lebih selesa mendekati pengundi dengan mengerah jentera anak mudanya mengibarkan bendera di sepanjang jalan utama, manakala BN terus mencetuskan gelombang “biru” di jalan raya apabila lebih 1,500 motosikal menyertai konvoi sambil membunyikan hon di sekitar bandar Parit Buntar.
PH pula kekal dengan pendekatan “ceramah mega” yang mempertaruhkan Anwar Ibrahim sebagai muka depan di setiap poster “ceramah grand finale”.
Sebelah paginya di Ipoh, Anwar kemudian “terbang” ke Bagan Serai pada sebelah petang untuk menyantuni penyokong dan malam ini beliau dijadual beraksi di hadapan rakyat Tambun – medan pertempuran sebenar untuk calon perdana menteri PH itu.
“Apa jadi Bagan Serai ni ramai sangat ni pasai apa? Ada kata Bagan Serai sukar untuk PH, saya dapat laporan Bagan Serai (prestasi) sedang melonjak. Kalau macam ni Bagan Serai kita menang!,” kata Anwar penuh yakin di hadapan lebih 500 penduduk Bagan Serai.
“Petang ini (tadi), kita gempur Parit Buntar!,” kata calon BN Parlimen Parit Buntar, Imran Yusof atau Cikgu Imran yang tetap mahu menaruh keyakinan terhadap undi anak muda.
Pada PRU15, Anwar dilihat lebih selesa menggunakan perkhidmatan sewaan helikopter untuk menembusi setiap kawasan ditandingi PH di Perak.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2,036,872 rakyat Perak akan mengundi esok, dengan 45% daripadanya adalah pengundi muda.
Perak mempunyai 24 kawasan Parlimen dan 59 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Parlimen Tambun mencatatkan jumlah pengundi paling ramai iaitu 160,558, diikuti Gopeng (143,657), Taiping (121,566), Ipoh Timur (118,178) dan Ipoh Barat (114,654).
Jumlah pengundi tentera dan pasangan tertinggi adalah di Parlimen Lumut (8,399), Taiping (3,984), Tambun (2,138), Gerik (1,705), Gopeng (852) dan Tapah (656). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.