`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 30, 2022

Amaran hujan berterusan tahap waspada di 8 negeri

 

MetMalaysia memaklumkan, hujan berterusan dijangka berlaku di empat negeri mulai esok hingga Sabtu iaitu di Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu manakala di Sabah, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bermula Sabtu hingga Ahad. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di lapan negeri antara esok dan Ahad ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku di empat negeri mulai esok hingga Sabtu iaitu Perak (Hulu Perak), Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan) serta seluruh Terengganu.

Cuaca sama turut diramalkan berlaku esok di Sabah melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat manakala di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pula hujan berterusan diramal berlaku bermula Sabtu hingga Ahad ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan MetMalaysia menjangkakan hujan lebat berterusan bermula di timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung mulai esok hingga Isnin depan itu disebabkan oleh angin timuran yang kencang dari barat Lautan Pasifik.

MetMalaysia memaklumkan pada masa sama, satu sistem cuaca bertekanan rendah dijangka terbentuk di Laut China Selatan pada Jumaat ini yang diramal bergerak ke arah barat merentasi sempadan Malaysia- Thailand menuju ke Laut Andaman pada Sabtu dan Ahad, serta boleh meningkatkan intensiti hujan.

“Ombak besar dan angin kencang turut dijangka melanda pesisir pantai serta perairan Kelantan dan Terengganu. Keadaan ini adalah berbahaya kepada sebarang aktiviti pantai dan laut,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia menasihatkan orang awam di kawasan terlibat agar lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“MetMalaysia sentiasa memantau dan memaklumkan perkembangan sistem cuaca ini menerusi laman web, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi. Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638,” menurut kenyataan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.