`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 5, 2022

Bolehkah PRU15 dihentikan?

 

Hari ini – Sabtu 5 Nov 2022 – penamaan calon bagi PRU15. Cuaca diramalkan cerah pagi ini. Bermakna pencalonan bolehlah kita jangka akan berjalan lancar. Tidak terjejas dek cuaca.

Namun menurut MetMalaysia, ribut petir diramal pada sebelah petang di 12 negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur, dan Sarawak. Ramalan ini dikeluarkan empat hari lalu.

Khamis lalu – 3 Nov 2022 – MetMalaysia memberitahu Monsun Timur Laut akan berlaku lebih awal iaitu pada minggu ini hingga Mac tahun depan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kata MetMalaysia, Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan bermula pada 7 November ini hingga Mac depan, ketika mana “empat hingga enam episod luluran monsun akan membawa hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.”

Kata jabatan meteorologi itu lagi, seperti musim-musim lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan kawasan rendah dan berhampiran sungai.

“Sekiranya hujan lebat berterusan, berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” menurut MetMalaysia.

Kejadian air pasang besar, kata MetMalaysia, dijangka pada 6 Nov (esok) hingga 11 Nov, dan 22 hingga 27 Nov (juga 7 hingga 12 Dis, 22 hingga 26 Dis, serta 6 hingga 10 Jan 2023, dan 21 hingga 25 Jan 2023).

Tidak perlulah saya mengingatkan ramalan MetMalaysia itu dibuat ketika PRU15 menjelang tiba. Sebelum ini pun sudah tercetus kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa pilihan raya ini akan bertembung dengan bencana tahunan yang menjejaskan beberapa negeri. Apatah lagi mengambil kira faktor perubahan iklim yang mengakibatkan sesuatu bencara menjadi lebih ganas. Itu masalah cuaca.

Ini pula masalah kesihatan. Pada 31 Okt lalu, Kementerian Kesihatan memberi amaran bahawa Malaysia sedang berdepan gelombang kecil Covid-19 varian Omicron XBB.

Perlu diingat Covid-19 masih wujud dan negara masih berada pada tahap pra-endemik. Ertinya, pandemik belum berlalu. Walaupun gelombang Covid-19 varian Omicron XBB yang negara sedang hadapi dikelaskan sebagai “kecil”, ia tetap satu ancaman yang tidak boleh dipandang enteng. Covid-19 tetap Covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan (caretaker) Khairy Jamaluddin, gelombang itu dijangka menyebabkan negara merekodkan peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang.

Kata Khairy, data harian sudah pun menunjukkan peningkatan kes baharu Covid-19. Begitu juga peningkatan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital. Ertinya ada ancaman. Ada risiko. Ada bahaya.

“Sama ada ia menjadi gelombang besar bergantung kepada tingkah laku dan tindakan komuniti,” Khairy dipetik media berkata. Beliau seterusnya menasihati rakyat antaranya memakai semula pelitup muka.

Mengambil kira kedua-dua amaran yang ditulis ini, membabitkan cuaca dan kesihatan, adakah PRU15 akan terjejas pada hari-hari menuju pengundian dan hari mengundi 19 November?

Jika cuaca menjadi buruk (nauzubillah min zalik) atau gelombang kecil varian Omicron XBB menjadi gelombang besar (sekali lagi nauzubilah min zalik) adakah temasya demokrasi yang kita sedang rasai ini akan diteruskan?

Ditakdir banjir atau Covid-19 atau kedua-duanya tidak membolehkan PRU15 dijalankan adakah ia akan dibatalkan? Ditangguh? Bolehkah itu dilakukan? Tidak ada “precedent” pilihan raya umum dibatal atau ditangguh setelah Parlimen bubar. Ia belum pernah berlaku.

Bolehkah ia berlaku jika keadaan tidak mengizinkan akibat bencana, malapetaka, dan musibah? Adakah perundangan negara membolehkannya? Kata beberapa pakar Perlembagaan dan undang-undang pilihan raya yang saya hubungi, tidak ada peruntukan undang-undang khusus berkaitan masalah ini.

Seorang pakar undang-undang berpendapat mahkamah juga tidak punya kuasa membuat penentuan. Beliau merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula yang dikemukakan tempoh hari oleh bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen ke-14.

Charles mendakwa pembubaran menyalahi dua perkara Perlembagaan kerana tidak berdasarkan nasihat Jemaah Menteri. Mahkamah bagaimanpun memutuskan saman pemula membabitkan pembubaran Parlimen itu perkara yang tidak boleh diadili oleh mahkamah dan juga berkata kuasa prerogatif terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara mutlak untuk membubarkan Parlimen.

Berdasarkan hujah itu, kata pakar undang-undang yang saya temui, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh mahkamah berhubung isu membatal atau menangguh PRU15.

Bagaimanapun bagi Pengerusi Bersih Thomas Fann: “Perdana menteri boleh mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati baginda mengisytihar darurat di kawasan-kawasan tertentu atau seluruh negara supaya pilihan raya digantung atau ditangguhkan.” Pendapat yang logik pada hemat saya.

Izinkan saya menambah. Jika itu berlaku kerajaan “caretaker” akan terus berfungsi sebagai penjaga sementara sehingga pilihan raya umum boleh diadakan apabila keadaan mengizikan. Begitu agaknya.

Andai apa yang kita bimbangkan terjadi yakni banjir besar melanda atau Covid-19 bertambah buruk hingga memaksa PRU15 tidak dapat diadakan, yang pasti dipersalahkan ialah pihak yang beriya-iya mahu pilihan raya diadakan walaupun rakyat sudah menyarankan hasrat mengadakan pilihan raya pada masa banjir biasa terjadi tidak diteruskan.

Lantas rakyat akan berkata kepada Zahid Hamidi, Tok Mat, dan Ismail Sabri serta yang sewaktu dengan mereka: “Kan kami dah kata jangan buat. Kamu buat juga.”

Doakan kita tidak perlu berkata demikian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.