`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 18, 2022

Bolehkah Zahid tawar jawatan menteri kepada Anifah?

 

Esok malam (dan pagi lusa iaitu Ahad) jika tidak ada aral melintang, kita akan menghayati keputusan PRU15. Siapa menang siapa kalah. Koalisi mana tubuh kerajaan – secara sendiri atau bergabung.

Beberapa hari terdahulu, lebih tepat pada 15 Nov, Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri “caretaker” memberitahu khalayak bahawa beliau akan mengecilkan Kabinetnya dan membawa masuk ramai teknokrat, jika BN menang pilihan raya ini.

Kita tahu sebilangan besar rakyat menyatakan rasa tidak senang (malah kemarahan) apabila Ismail mengumumkan Kabinet sebelum ini pada 27 Ogos 2021, tetapi beliau teruskan juga dengan jemaah yang besar.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Sekarang, kira-kira 15 bulan kemudian, Ismail terima hakikat “ramai yang membuat komen tentang Kabinet yang menggelembung (inflated). Saya akui ia terlalu besar dan saya akan kurangkan keanggotaannya.”

Kata Ismail, kali ini beliau akan mengambil kira kepakaran dan skil sebagai panduan menubuhkan Kabinetnya yang akan dianggotai orang politik dan teknokrat.

Jelas itu kempen untuk meraih undi. Tidak ada salahnya berkempen dan berjanji demikian sebagai calon perdana menteri jika BN tubuh kerajaan.

Tetapi, sehari sebelum Ismail memberi gambaran Kabinetnya, bekas menteri luar semasa pentadbiran Najib Razak, Anifah Aman mendakwa beliau ditawarkan jawatan menteri, jika BN menang kali ini. Tawaran itu, kata Anifah, dibuat Pengerusi BN dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, Zahid memujuknya tidak bertanding kerusi Kimanis di Sabah dan sebaliknya menyokong BN pada pilihan raya ini. “Untuk itu semua, Zahid akan jadikan saya senator untuk membolehkan saya dilantik menteri luar,” kata Anifah. Beliau berkata tawaran itu ditolak.

Pada hari yang sama, yakni 14 Nov, Zahid mengesahkan beliau sememangnya membuat tawaran itu kepada Anifah. Dipetik akhbar The Edge, Zahid berkata, “kami (BN) mesti tubuhkan kerajaan. Beliau sangat sesuai dilantik semula sebagai menteri luar.”

Zahid seterusnya menghuraikan ciri-ciri Anifah yang membuatnya amat sesuai dijadikan menteri luar. “Anifah memegang jawatan menteri luar selama sembilan tahun dan berkhidmat dengan baik. Kami sama-sama dalam Kabinet masa itu. Oleh itu, saya rasa beliau layak dijadikan senator dan kemudiannya dilantik menteri luar. Dia ada nilai,” kata Zahid.

Saya tidak cadang pertikaikan ciri-ciri Anifah yang dinyatakan Zahid. Pun begitu, beliau tidak menjelaskan mengapa membuat tawaran itu, selain berkata Anifah layak jadi menteri sekali lagi.

Bolehkah Zahid membuat tawaran itu? Tidak kiralah tawaran jadi senator, menteri, dan lain-lain jawatan kerajaan, sama ada kepada Anifah atau sesiapa saja.

Zahid ialah pengerusi BN dan presiden Umno. Sebelum Parlimen dibubarkan, Zahid bukan perdana menteri. Lantas bukanlah perdana menteri “caretaker”, dan Zahid kerap memberitahu beliau bukan calon perdana menteri BN untuk PRU15.

Oleh itu, bolehkah beliau lakukan apa yang beliau lakukan? Bukankah hanya perdana menteri yang berhak memilih anggota Kabinet?

Terjadinya tawaran yang dibuat Zahid, tidak dapat elak teringat kembali isu-isu “poster boy” dan calon perdana menteri BN yang timbul dan tidak reda seperti dipaparkan artikel saya di FMT pada 11 Nov lalu, berjudul “Ingat dah ‘settle’ !”

Umum tahu Ismail ulang dan ulang beliaulah perdana menteri, seandainya BN menang PRU15. Ramai jua pemimpin Umno berkata demikian, terbaharu Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein.

Mereka kata berulang kali, Ismail lah orangnya jadi perdana menteri. Zahid sendiri ulang dan mengiyakan itu semua. Akan tetapi, kenyataan, gerak geri, dan tingkah lakunya seakan sebaliknya.

Contoh terbaharu, tawaran beliau kepada Anifah. Ismail nampak sekali lagi keterbelakang.

Apabila Ismail ditanya media mengenai tawaran Zahid kepada Anifah, apa jawapannya? Beliau mengesahkan tidak tahu-menahu tentang sebarang perjanjian melibatkan Anifah untuk jawatan dalam Kabinet, sekiranya BN tubuh kerajaan selepas PRU15.

Kata beliau, menjelang hari pengundian, timbul pelbagai cerita “bukan-bukan”. Kata Ismail lagi, “kadang-kadang setengah orang main sebut saja, tetapi tidak ada apa pun tawaran tersebut, tapi kerana tidak ada sesiapa yang ada waktu tu, mungkin jadi dia main sebut.”

Ismail tidak menyebut nama. Namun interpretasi saya akan kata-kata beliau itu ialah begini: Apa yang beliau maksudkan pada hemat saya ialah tidak ada tawaran dibuat, Zahid tidak buat tawaran, Anifah main sebut nama Zahid, dan oleh kerana tidak ada saksi tawaran dibuat, maka Anifah main sebut.

Bagaimanapun, yang terbukti ialah Anifah bukan main sebut kerana Zahid sendiri mengesahkan serta mengaku beliau memang menawarkan jawatan senator dan menteri luar kepada Anifah.

Tidak mahu saya mengulas lanjut. Sekadar berkata Umno bertambah kusut.

Esok PRU15. Tidak mengundi bukan pilihan. Berpeluk tubuh bukan pilihan. Selamat mengundi semua. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.