`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 25, 2022

Demi suara Sabah, GRS wajar sertai kerajaan Anwar, kata penganalisis

 

Penganalisis berpandangan kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan negeri ‘terancam’ sekiranya tidak menyertai kerajaan di peringkat persekutuan. (Gambar Wikipedia)

PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar menyertai kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim yang baharu ditubuhkan demi memastikan suara kerajaan Sabah turut berada dalam Kabinet, kata seorang penganalisis politik.

Pakar geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata ketiadaan GRS dalam kerajaan dilihat suatu kelompongan dalam kerajaan inklusif diketuai perdana menteri ke-10 itu.

Katanya, seperti Sarawak, wilayah Sabah juga memerlukan perhatian istimewa daripada kerajaan persekutuan, justeru wujudnya keperluan bagi wakil GRS untuk berada dalam mesyuarat Kabinet.

“Seharusnya di Semenanjung yang sudah ada wakilnya dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, Sarawak mungkin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seharusnya wilayah Sabah diwakili GRS dalam hal ini,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berpandangan, pintu untuk GRS menyertai kerajaan Anwar masih lagi terbuka.

Katanya, kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri juga dilihat terancam sekiranya tidak menyertai kerajaan di peringkat persekutuan.

“Kerajaan Sabah mungkin akan bertukar tangan kepada gabungan BN, PH dan Warisan,” katanya ketika mengulas mengenai risiko bakal dihadapi GRS sekiranya tidak menyertai kerajaan perpaduan.

Pada sidang media pertama selepas upacara mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar memaklumkan bahawa PH,BN dan GPS menjadi teras kepada kerajaan perpaduan diketuainya.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan beliau turut disokong Warisan, Muda, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebelum itu, Pengerusi GRS Hajiji Noor, berkata pihaknya telah memberikan jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan perpaduan dibentuk Anwar.

Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.