`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 19, 2022

Pemimpin diktator cipta budaya takut terhadap agama lain, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim turut membidas kepimpinan PAS ketika ini yang jauh terpesong daripada PAS yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat satu ketika dulu.

TAMBUN: Pemimpin diktator dan zalim sengaja mencipta budaya cemas dan takut terhadap agama lain, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengulas kenyataan beberapa pemimpin utama termasuk Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin yang sengaja mengaitkan isu agama dan kaum ketika berkempen.

“Umno kata hidup Melayu, Muhyiddin kata ketuanan Melayu, Hadi kata Allahuakbar tetapi kerjanya lebih kurang sama.

“Budaya strategi dan taktik semua diktator dan pemerintah zalim adalah menggunakan budaya rasa cemas dan takut. Kita takut dengan Kristian, kita takut dengan Cina, kita takut dengan Yahudi,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan penyokong sempena amanat Anwar dari Tambun untuk Malaysia.

Anwar turut membidas kepimpinan PAS ketika ini yang jauh terpesong daripada PAS yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat satu ketika dulu.

“Nik Aziz contoh seorang pemimpin Islam yang baik, pernah dia hina Cina atau India? Ini Hadi Awang… Muhyiddin lagi teruk!,” katanya.

Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Khamis, Muhyiddin mendakwa sekumpulan Yahudi mahu PH menang esok, dan mendakwa gabungan itu bekerjasama dengan Yahudi serta orang Kristian untuk “menjajah” negara.

Dalam rakaman tular itu, bekas perdana menteri terbabit turut mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Ahad.

Majlis Gereja-gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas dakwaan itu, manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti itu bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin.

Petikan ucapan Muhyiddin dalam ceramah baru-baru ini tular di TikTok. Beliau dipercayai membuat dakwaan itu dalam sebuah ceramah di Parit Jawa, Johor, 16 Nov lalu.

Pada penutup amanat itu, Anwar berjanji akan menjadi perdana menteri menjaga kepentingan semua kaum jika dipilih pada PRU15.

“Saya Melayu, kuat semangat Melayu tetapi saya tak pernah rasa benci atau hina mana-mana kaum kerana mereka adalah keluarga saya dan anak buah saya yang saya sebagai ketua bertanggungjawab memelihara mereka.

“Jadi kita nak tunjuk satu budaya baru di Malaysia ini, seorang pemimpin Melayu yang bangga dengan budayanya yang kuat semangat Islamnya tetapi memberi contoh yang berbeza kerana kuat kasihnya kepada rakyat termasuk pelbagai agama,” katanya.

“Mudah-mudahan PH cecah 112 kerusi, mudah-mudahan kita angkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.