`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 14, 2022

PRU15: Keputusan rayuan bekas Ahli Parlimen Klang, pengundi Pandan esok

 

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan pengundi Parlimen Pandan, Syed Iskandar Syed Jaafar memfailkan dua saman pemula untuk menghalang pilihan raya umum ke-15 diadakan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan esok untuk memutuskan dua isu dalam saman pemula bekas penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago dan seorang pengundi Parlimen Pandan bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata mahkamah memerlukan masa untuk memutuskan isu terbabit.

Azizah, yang bersidang bersama Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun, mendengar rayuan Santiago serta Syed Iskandar Syed Jaafar secara berasingan pada prosiding dalam talian hari ini.

Santiago, yang mahu mahkamah menghidupkan semula saman pemula beliau terhadap Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan SPR, memohon beberapa perintah, termasuk deklarasi bahawa permintaan perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen terbatal dan tidak sah kerana tidak dilakukan atas nasihat Kabinet.

Syed Iskandar pula memohon mahkamah memberi kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan langkah mengadakan pilihan raya umum.

Saman pemula Santiago dibatalkan pada 28 Okt lalu, selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan.

Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Syed Iskandar untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Pada prosiding hari ini, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Santiago memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa permintaan Ismail pada 9 Okt lalu kepada Agong untuk membubarkan Parlimen dibuat secara tidak sah.

Ini kerana katanya, tiada nasihat daripada Kabinet dan perdana menteri tiada kuasa untuk menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen secara bebas.

“Nasihat Kabinet adalah prasyarat bagi melaksanakan kuasa untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan. Tanpa nasihat itu, Agong tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen.”

Peguam Zulkefli Ahmad Makinudin yang mewakili Ismail, kerajaan Malaysia dan SPR, berhujah perdana menteri berhak atas kehendaknya sendiri menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen dalam apa jua keadaan.

Seorang lagi peguam, Mohd Hafarizam Harun yang turut mewakili Ismail, kerajaan Malaysia dan SPR, pula berhujah isu itu bersifat akademik di hadapan mahkamah kerana Agong sudah memutuskan untuk membubarkan Parlimen dan keputusan baginda “tidak boleh diadili”.

Sementara itu, peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Syed Iskandar memaklumkan mahkamah, anak guamnya mencabar tindakan eksekutif menghadap Agong untuk meminta baginda membubarkan Parlimen.

Beliau berkata, tindakan perdana menteri itu adalah pendekatan berperlembagaan dan tidak terlepas daripada semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili pengerusi SPR, Ismail dan kerajaan, pula berhujah Syed Iskandar tidak mempunyai locus standi memfailkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman kerana tidak menyatakan bagaimana beliau terjejas oleh pilihan raya itu.

Katanya, Syed Iskandar cuba mengubah keputusan membubarkan Parlimen serta menghentikan PRU15 dan Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran serta membenarkan bantahan peguam negara berhubung perkara itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.